Read Time:1 Minute, 56 Second
RANAU: Penganjuran kejohanan pacuan empat roda 5th KGR International 4×4 Offroad Challenge 2026 disifatkan sebagai platform terbaik untuk mempromosikan Ranau sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengembaraan dan sukan lasak, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kejohanan itu bukan sahaja memperkenalkan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya Ranau kepada peserta dan pengunjung dari dalam serta luar negara, malah memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi tempatan.
Menurutnya, kehadiran peserta, kru dan pengunjung sepanjang kejohanan memberi kesan positif kepada pengusaha hotel, homestay, restoran, gerai makanan, perkhidmatan pengangkutan serta usahawan kecil di sekitar daerah berkenaan.
“Kerajaan Negeri Sabah terus komited menyokong penganjuran program berasaskan komuniti yang bukan sahaja menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sukan lasak, malah mampu merancakkan sektor pelancongan dan menjana pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan 5th KGR International 4×4 Offroad Challenge 2026 di Tomporog, Lohan, di sini baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin,
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut menyeru agar kerjasama erat antara kerajaan, penganjur, sektor swasta dan komuniti terus diperkukuhkan bagi membolehkan lebih banyak program berimpak tinggi dianjurkan pada masa hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab KGR serta semua pihak yang menjayakan kejohanan itu dan berharap pertandingan berkenaan akan terus berkembang sebagai acara tahunan bertaraf nasional serta antarabangsa.
Katanya, perkembangan itu sekali gus mampu mengangkat Ranau sebagai destinasi utama sukan lasak dan pelancongan pengembaraan di Malaysia.
Sementara itu, Presiden KGR, Ardie Zainurin berkata, kejohanan kali ini berjaya menghimpunkan 32 peserta termasuk dari Miri, Sarawak dan Brunei Darussalam, sekali gus membuktikan daya tarikan serta potensi acara itu di peringkat serantau.
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang pertandingan, selain merakamkan penghargaan kepada penaja, rakan strategik, urus setia, sukarelawan dan semua pihak yang menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.
“Semoga kerjasama ini dapat diteruskan dan kejohanan ini akan kembali dengan lebih meriah pada masa akan datang,” katanya.
Dalam kejohanan itu, pasangan Jonathan Roy dan Anto dari Kota Kinabalu muncul juara, manakala Mohd Izzat dan Mohd Iman dari Beaufort meraih tempat kedua. Tempat ketiga dimenangi pasangan tuan rumah, Hijab Masinin dan Hazizi Masinin, diikuti Mohd Adlizan Paimin dan Mohd Khairu Rizal dari Ranau di tempat keempat, manakala Jamal Jaeland dan Ramli Paita dari Tawau melengkapkan kedudukan lima terbaik.






