Read Time:1 Minute, 11 Second
KOTA KINABALU: Naib juara Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Sabah 2026, Bryan Nickolson Jacob mengotakan janji manifestonya menerusi program memperkasa bahasa ibunda dan warisan budaya dalam kalangan generasi muda.
Menerusi kerjasama dengan Kelab Bahasa Kadazan Dusun (BKD) SIDMA College, Bryan menjayakan program Ogirot Boros, Ogirot Tinaru (Gema Bahasa Ibunda) yang berlangsung dari 23 hingga 26 November 2026.
Program itu mendukung aspirasi manifestonya, “Budaya Kita, Masa Depan Kita”, yang menekankan pemeliharaan budaya sebagai akar jati diri, pemerkasaan belia sebagai pemangkin perubahan serta penglibatan komuniti dalam melestarikan warisan Sabah.
Antara pengisian program termasuk bengkel asas bahasa ibunda, pertandingan Manangon, Monisui, Hiis, Pialaan Takanon Kaubasanan serta pelbagai aktiviti kebudayaan yang memberi peluang kepada golongan muda untuk mengenali, mempelajari dan menghayati keunikan warisan masyarakat Kadazan Dusun.
“Melalui inisiatif ini, saya ingin memperkukuh kesedaran bahawa bahasa ibunda bukan sekadar medium komunikasi, malah merupakan lambang identiti, sejarah dan kebanggaan sesuatu bangsa yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Pelaksanaan program itu turut mencerminkan peranan pemegang gelaran RTK yang melangkaui pentas pertandingan, dengan menggalas tanggungjawab sebagai ikon belia dan penggerak budaya yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat.
Kerjasama dengan Kelab BKD SIDMA College pula menjadi wadah untuk menghubungkan golongan belia, institusi pendidikan dan komuniti dalam usaha memelihara bahasa serta kebudayaan.
“Saya berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan, sekali gus melahirkan generasi muda yang berbangga dengan identiti sendiri serta berperanan aktif dalam memastikan kelestarian warisan budaya Sabah,” tambahnya.





