Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Jamdin Buyong dinobat Tokoh Maal Hijrah daerah Putatan 2026

Read Time:2 Minute, 31 Second

PUTATAN: Tokoh bahasa dan budayawan Sabah, Datuk Jamdin Buyong dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Daerah Putatan 1448H/2026M sebagai penghargaan terhadap sumbangan besarnya dalam bidang bahasa, sastera, sejarah, penyiaran, kebudayaan, pentadbiran awam serta pembangunan masyarakat Islam di negeri ini.

Pengiktirafan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya sempena Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Putatan yang berlangsung di Dewan Sri Putatan, pada Jumaat.

Ketika ditemui, Jamdin melahirkan rasa syukur dan terharu kerana penghargaan itu diberikan oleh masyarakat di daerah kelahirannya sendiri.

Menurut beliau, walaupun pernah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah pada tahun 2016, pengiktirafan daripada daerah asalnya mempunyai nilai yang amat bermakna.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas penghargaan ini. Walaupun sebelum ini saya pernah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah Peringkat Negeri, namun pengiktirafan daripada masyarakat daerah kelahiran sendiri amat saya hargai dan kenang,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.

Mengulas mengenai sambutan Maal Hijrah, beliau berkata peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukan sekadar peristiwa sejarah, sebaliknya membawa mesej perubahan yang relevan dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Katanya, konsep hijrah perlu diterjemahkan dalam bentuk perubahan pemikiran, nilai kehidupan dan pembangunan masyarakat ke arah yang lebih baik.

“Pada hari ini, hijrah bukan lagi semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi bagaimana kita melakukan perubahan dari segi pemikiran, sikap, nilai kehidupan dan pembangunan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, semangat hijrah juga berkait rapat dengan usaha membina masyarakat madani yang seimbang dari aspek pembangunan material dan rohani.

Menurutnya, pembangunan sesebuah masyarakat tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal, tetapi turut merangkumi kesejahteraan hidup, kemudahan asas dan pembentukan nilai murni dalam kalangan rakyat.

“Apabila masyarakat luar bandar turut menikmati kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan infrastruktur yang baik, ia merupakan antara ciri masyarakat yang bertamadun dan selaras dengan aspirasi pembinaan masyarakat madani,” katanya.

Sepanjang kerjaya perkhidmatannya, Jamdin pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Pengarah Muzium Sabah serta Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Selain cemerlang dalam pentadbiran awam, beliau turut dikenali sebagai penulis prolifik yang menghasilkan pelbagai karya berkaitan sejarah, bahasa dan kesusasteraan Sabah.

Antara karya beliau yang mendapat perhatian ialah Perjuangan Peribumi Menentang Penjajah, Perjuangan Kemerdekaan di Sabah: Satu Kesinambungan Cetusan, Dayang Masniah dan Rona-Rona Bahasa, yang menerima Anugerah Buku Umum Terbaik pada tahun 2017.

Atas sumbangan dan dedikasinya dalam bidang bahasa, sastera serta pembangunan masyarakat, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Khas Maal Hijrah Sabah 1438H, Anugerah Bakti Sastera GAPENA 2023 dan Anugerah Tokoh Pejuang Sastera Negeri Sabah 2024.

Terdahulu, majlis sambutan Maal Hijrah yang bermula seawal jam 8 pagi itu dihadiri kira-kira 3,000 penduduk dari sekitar daerah Putatan.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan ceramah khas Maal Hijrah yang disampaikan pendakwah terkenal, Ustaz Nabil Ahmad, serta persembahan nasyid oleh Kumpulan Infaq.

Turut hadir Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Pegawai Daerah Putatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Daerah Putatan, Masawi Salleh.

LEAVE A RESPONSE