Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Imigresen Hadkan Tempoh Sah Pasport Maksimum 10 tahun

Read Time:1 Minute, 20 Second

PUTRAJAYA -Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menetapkan tempoh sah laku maksimum Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) kepada 10 tahun berkuat kuasa serta-merta susulan isu dihadapi pemegang pasport ketika melakukan perjalanan ke luar negara.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata keputusan itu dibuat selepas beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun dilaporkan menghadapi masalah ketika proses daftar masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.

Beliau berkata JIM sebelum ini telah merujuk perkara berkenaan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), dan maklum balas diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh sah PMA melebihi 10 tahun.

“Walau bagaimanapun, kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun menghadapi masalah semasa pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata penetapan tempoh maksimum 10 tahun bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku pasport selain mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.

Sehubungan itu, katanya, pengeluaran pasport dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu berkenaan diselesaikan bersama syarikat penerbangan dan ICAO.

Menurutnya, pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun pula akan diberikan penggantian pasport secara percuma, dengan pasport baharu mempunyai tempoh sah maksimum 10 tahun.

“Pemegang PMA yang terlibat akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport,” katanya.

JIM juga akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara Malaysia yang terjejas ketika berada di luar negara.

Zakaria berkata langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memastikan pelaksanaan PMA terus ditambah baik serta perjalanan antarabangsa rakyat Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.

LEAVE A RESPONSE