Read Time:2 Minute, 9 Second
KOTA BELUD: Kira-kira 600 penduduk sekitar daerah ini menerima manfaat menerusi Program Mahkamah Bergerak Fasa 4 Kota Belud yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, sambutan yang diterima membuktikan program berkenaan amat signifikan dalam membantu masyarakat luar bandar yang berdepan masalah dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, faktor jarak, kekangan kewangan dan kesukaran mengakses perkhidmatan kerajaan antara punca utama ramai penduduk masih berhadapan pelbagai isu berkaitan dokumentasi diri.
“Saya percaya masih ramai penduduk di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar seperti Kota Belud, mengalami masalah dokumen pengenalan diri yang menjejaskan akses kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta bantuan kerajaan.
“Setiap rakyat berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan dan sistem keadilan tanpa halangan, termasuk mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Kehadiran kira-kira 600 orang pada program hari ini jelas menunjukkan keperluan dan kepentingan program seperti ini kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Arsad berkata, antara isu utama yang dikenal pasti membabitkan kelewatan pendaftaran kelahiran akibat perkahwinan yang tidak teratur atau tidak didaftarkan secara sah, kesukaran mendapatkan dokumen pengesahan kelahiran bagi kelahiran di rumah, selain kurang kesedaran mengenai kepentingan dokumentasi diri.
Beliau menjelaskan, sebahagian penduduk menghadapi kesukaran mendapatkan dokumen pengesahan kelahiran awal daripada hospital, terutama bagi kes kelahiran di rumah yang dianggarkan melibatkan antara 10 hingga 20 peratus kes.
“Terdapat juga masalah berkaitan perkahwinan yang tidak didaftarkan secara sah sama ada melalui jabatan agama bagi umat Islam atau tanpa pengesahan adat yang lengkap bagi bukan Islam.
“Selain itu, terdapat kes perkahwinan campur yang turut menimbulkan cabaran dalam urusan dokumentasi, termasuk melibatkan warga asing dan penduduk tempatan.
“Malah, ada penduduk yang sudah berusia 19 hingga 20 tahun tetapi masih belum memiliki dokumen pengenalan diri yang sah akibat kurang kesedaran mengenai undang-undang berkaitan sebelum ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Arsad berharap Mahkamah Syariah dapat turut serta dalam pelaksanaan program berkenaan pada masa hadapan bagi membantu menyelesaikan isu perkahwinan tidak berdaftar yang memberi kesan kepada proses mendapatkan dokumen kelahiran bagi anak-anak Islam.
“Dalam konteks umat Islam, peranan Mahkamah Syariah amat penting kerana perkahwinan yang tidak didaftarkan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sering menjejaskan peluang kanak-kanak mendapatkan sijil kelahiran,” katanya.
Program Mahkamah Bergerak Fasa 4 Kota Belud itu melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mahkamah Anak Negeri, JHEAINS, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Jabatan Kesihatan Kota Belud dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Antara perkhidmatan yang disediakan ialah urusan pengesahan dan endosmen sijil kelahiran daftar lewat, penyediaan Surat Akuan serta khidmat Pesuruhjaya Sumpah, selain nasihat perundangan kepada orang ramai.






