Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Harga durian premium di Sabah kekal stabil

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Harga durian premium di Sabah kekal stabil dan masih memberikan pulangan menguntungkan kepada pekebun, meskipun berlaku penurunan harga di Semenanjung berikutan lambakan bekalan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata, harga ladang durian premium di Sabah bagi gred A masih berada sekitar RM45 sekilogram.

“Manakala gred B,C pula dianggarkan sekitar RM35 sekilogram. Harga tersebut disifatkan masih munasabah dan mampu menjamin keuntungan kepada pengusaha kebun.

“Kejatuhan harga durian premium yang tular di media sebelum ini lebih tertumpu di Semenanjung dan melibatkan lambakan durian gred rendah, khususnya gred C dan ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Buku Pelan Strategik Hala Tuju V50 Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Wisma Pertanian di sini pada Khamis.

Jamawi berkata, bedasarkan maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), penurunan harga berlaku disebabkan lebihan bekalan durian gred bawah, manakala gred A dan B masih mengekalkan harga bagi pasaran eksport.

Katanya, durian premium seperti Musang King untuk gred A dan B masih mempunyai permintaan kukuh di pasaran eksport, sekali gus membantu menstabilkan harga dan mengurangkan kesan lambakan domestik.

Sehubungan itu,Jamawi menyeru pekebun di Sabah agar terus mengusahakan tanaman durian premium secara berfokus kepada kualiti dan penggredan bagi memenuhi keperluan pasaran eksport.

“Untuk Sabah, termasuk durian gred C dan ke bawah, harga semasa masih dalam lingkungan yang mampu memberikan keuntungan kepada pekebun, berbeza dengan situasi di Semenanjung,” katanya.

Tambah beliau, kestabilan harga itu membuktikan potensi industri durian premium di Sabah masih cerah dan wajar terus dibangunkan sebagai sumber ekonomi pertanian negeri.

Di Semenanjung, lambakan durian di pasaran ketika ini menyebabkan harganya jatuh merudum terutama durian kampung yang kini dijual serendah RM3 sekilo.

Ini disebabkan durian yang terlalu banyak di kebun hingga peniaga terpaksa menjualnya dengan harga rendah bagi mengelak buah rosak jika dibiar terlalu lama.

Kejatuhan harga itu juga menyebabkan durian premium seperti Musang King, D24, Black Thorn dan IOI kini murah, sekali gus membuka peluang lebih ramai golongan berpendapatan sederhana dan rendah menikmati varieti durian berkualiti tinggi itu. – SABAH MEDIA 

LEAVE A RESPONSE