Read Time:1 Minute, 13 Second
Oleh Ahmad Husnayan
KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menyatakan kesediaan penuh untuk menggempur bersama komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan gabungan itu terus mentadbir negeri dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah Ke-17, November ini.
Presidennya yang juga Naib Pengerusi GRS, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata semangat dan kekuatan jentera parti kini berada pada tahap terbaik hasil komitmen padu kepimpinan dan ahli di seluruh negeri.
“Kehadiran lebih 15,000 wakil jentera GRS dari seluruh pelusuk negeri membuktikan kesediaan kami untuk ‘bertempur’ dalam PRN kali ini.
“Sebagai pemimpin komponen GRS, saya memastikan Harapan Rakyat turut berada dalam kesiapsiagaan penuh bagi membantu memastikan gabungan ini terus menerajui kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurutnya, GRS kini berada di landasan terbaik untuk meneruskan agenda pembangunan dan kemajuan negeri menerusi pelaksanaan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
“Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan politik, tetapi satu doa dan tekad untuk melihat negeri dan rakyat kita terus maju,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera Harapan Rakyat agar terus memperkukuh semangat setiakawan dan bekerjasama rapat dengan rakan komponen bagi menghadapi cabaran PRN yang bakal tiba.
“Kita gempur, kita lawan dan kita pertahankan negeri Sabah bersama. Selamat maju jaya kepada seluruh jentera,” katanya.