KUDAT: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meninjau projek pembinaan 20 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) jenis bertiang secara berkelompok di Kampung Perpaduan Ria 2, di sini pada Sabtu.
Projek yang bermula pada Ogos lalu itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dengan kos pembinaan RM95,000 bagi setiap unit.
Hajiji diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Rubin Balang; Pembantu Menteri Kewangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Kapor, Datuk Ben Chong; serta pegawai kanan kerajaan.
Rumah Mesra SMJ merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah untuk membantu golongan berpendapatan rendah, keluarga miskin, pemilik rumah daif dan mereka yang tidak memiliki kediaman sendiri, tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan.
Program itu dilaksanakan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penyediaan kediaman yang lebih selesa dan selamat kepada golongan memerlukan.
Bagi 2026, kerajaan meningkatkan kuota pembinaan Rumah Mesra SMJ daripada 40 kepada 50 unit bagi setiap DUN, termasuk tambahan 10 unit khusus untuk golongan muda berumur 40 tahun ke bawah yang sudah berkahwin tetapi belum memiliki rumah sendiri.





