Read Time:2 Minute, 17 Second
KOTA KINABALU: Jumlah penumpang BAS.MY Kota Kinabalu melonjak lebih 200 peratus dalam tempoh kira-kira dua bulan, daripada sekitar 194,000 penumpang pada 10 Ogos kepada 598,054 penumpang setakat Oktober 2026.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata peningkatan itu membuktikan sambutan menggalakkan rakyat terhadap perkhidmatan pengangkutan awam berkenaan.
Beliau berkata, sambutan berkenaan turut menunjukkan keperluan terhadap sistem pengangkutan awam yang lebih baik, mudah diakses dan memenuhi keperluan harian masyarakat.
“Angka ini amat memberangsangkan dan membuktikan bahawa rakyat Sabah sememangnya memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih baik.
“Apabila perkhidmatan disediakan dengan baik, rakyat akan menggunakannya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, pihaknya yakin Kota Kinabalu mampu membangunkan budaya pengangkutan awam yang lebih moden dan efisien, walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Saya percaya Kota Kinabalu mampu membangunkan budaya pengangkutan awam yang lebih moden dan efisien. Kita mungkin belum mempunyai sistem yang sempurna, tetapi kita sedang bergerak ke arah yang betul.
“Saya akan terus mendengar maklum balas rakyat dan berusaha memastikan perkhidmatan BAS.MY ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Phoong berkata kajian mengenai cadangan penjajaran semula laluan BAS.MY Kota Kinabalu telah selesai dan pada dasarnya dipersetujui LPKP Sabah.
Katanya, langkah itu selaras dengan usaha mengoptimumkan perkhidmatan bas berkenaan, termasuk menambah hentian di kawasan strategik berdasarkan keperluan serta permintaan orang ramai.
Antara lokasi yang dicadangkan termasuk Klinik Kesihatan Luyang, Hospital Likas, Tanjung Aru dan Kepayan Ridge.
“Ini selaras dengan kenyataan saya sebelum ini bahawa perkhidmatan ‘Pink Bus’ akan dioptimumkan dengan penambahan hentian bas di kawasan strategik seperti Klinik Kesihatan Luyang, Hospital Likas, Tanjung Aru, Kepayan Ridge dan sebagainya, berdasarkan keperluan serta permintaan yang memberangsangkan daripada orang ramai,” katanya.
Phoong berkata, usaha memperluas jaringan BAS.MY bukan sekadar menambah laluan bas, sebaliknya bertujuan memudahkan urusan harian rakyat, khususnya warga emas, pelajar, pekerja dan golongan yang bergantung kepada pengangkutan awam.
“Matlamat kita sangat jelas, iaitu menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan yang mudah, selamat, selesa dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
“Kita mahu lebih ramai rakyat dapat pergi ke hospital, sekolah, tempat kerja dan pusat kegiatan masyarakat tanpa perlu terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan penjajaran semula laluan itu masih memerlukan sedikit masa berikutan keperluan pindaan kontrak perolehan serta kelulusan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan Malaysia.
“Saya meminta semua pihak bersabar kerana pelaksanaannya memerlukan penyelarasan, khususnya dari segi implikasi kewangan, bersama kementerian terbabit sebelum penambahbaikan ini dapat dilaksanakan dan beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Phoong memberi jaminan LPKP Sabah akan terus membuat susulan dengan kementerian berkaitan supaya penambahbaikan yang dikenal pasti dapat dilaksanakan secepat mungkin demi manfaat rakyat.
Beliau turut menegaskan pembangunan pengangkutan awam dan aspek keselamatan jalan raya perlu bergerak seiring bagi mewujudkan sistem mobiliti yang lebih selamat, cekap dan mesra rakyat di Sabah.





