KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya bagi menyokong agenda pembangunan serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sabah.
Penghargaan itu disampaikan sempena kunjungan hormat Mohd Razali kepada Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu, menjelang persaraan wajib beliau pada 14 Oktober ini.
Hajiji turut menzahirkan ucapan terima kasih atas khidmat bakti, komitmen dan kerjasama yang diberikan Mohd Razali sepanjang menerajui Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.
Beliau menghargai peranan Mohd Razali dalam memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan jabatan serta agensi Persekutuan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan negeri.
Ketua Menteri turut berharap hubungan baik dan sinergi yang terjalin antara kedua-dua kerajaan akan terus diperkukuh demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat Sabah.
Sementara itu, Mohd Razali merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Hajiji serta Kerajaan Negeri atas kerjasama dan sokongan yang diberikan sepanjang beliau menjalankan tanggungjawab sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah.
Mohd Razali dilantik memegang jawatan berkenaan berkuat kuasa 2 September 2025 bagi menggantikan Dato Seri Haji Rosli Isa yang bersara pada 26 Ogos tahun sama.
Beliau dijadualkan bersara wajib pada 14 Oktober 2026 selepas lebih setahun menerajui Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah.
Pada pertemuan itu, Hajiji turut menyampaikan ucapan selamat bersara kepada Mohd Razali serta mendoakan beliau dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kebahagiaan bersama keluarga selepas menamatkan perkhidmatan.






