Read Time:1 Minute, 15 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menggunakan dokumen kuasa wakil (Power of Attorney) palsu sebagai dokumen tulen.
Hakim Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chen Lian, 60, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir perbicaraan penuh.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh keputusan dijatuhkan, iaitu pada Selasa, selain menolak permohonan tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Mengikut pertuduhan, Lim dengan curangnya menggunakan sebagai tulen dokumen ‘Power of Attorney’ bertarikh 25 Februari 2022 yang diketahuinya merupakan dokumen palsu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 25 Februari 2022 di sebuah pejabat firma guaman di Kompleks Sinsuran, dekat sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, Lim, yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan atas alasan mempunyai tanggungan anak-anak serta ibu.
Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir pula memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan keseriusan kes.
Fazriel antara lain berkata kesalahan itu dilakukan secara terancang dan bukan secara spontan.
Menurutnya, penggunaan dokumen palsu menjejaskan keyakinan awam terhadap kesahihan dokumen yang digunakan oleh agensi kerajaan, institusi kewangan, perniagaan dan mahkamah, selain melibatkan unsur ketidakjujuran yang menjejaskan integriti urusan komersial serta perundangan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi, manakala tertuduh tampil sebagai saksi tunggal semasa pembelaannya.






