Read Time:1 Minute, 20 Second
TAWAU: Sebuah premis di kawasan Felda Umas di sini dikompaun oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau kerana gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.
Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan dalam operasi pemantauan aktiviti perdagangan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Hasil pemeriksaan mendapati barangan yang dipamerkan untuk jualan tidak disertakan tanda harga jualan tunai seperti yang diwajibkan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
KPDN dalam kenyataan menegaskan setiap barangan yang ditawarkan kepada pengguna mesti dipamerkan dengan tanda harga yang jelas dan mudah dilihat, terutama bagi barangan kawalan berjadual seperti minyak masak, gula dan lain-lain, bagi memastikan ketelusan urus niaga.
“Mengikut peruntukan undang-undang, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh ditingkatkan kepada denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM250,000,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Dalam operasi sama, sebanyak 30 Kenyataan Pemeriksaan Premis (KPP) dikeluarkan ke atas premis-premis perniagaan yang diperiksa.
KPDN Tawau berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa, khususnya menjelang musim perayaan, bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara beretika serta mematuhi undang-undang demi melindungi kepentingan pengguna.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang supaya menyalurkannya melalui saluran aduan rasmi KPDN.






