Read Time:1 Minute, 15 Second
Oleh J Evachel John
PAPAR: Dua pelajar didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, hari ini, berhubung kejadian buli di sebuah sekolah di sini pada September tahun lalu.
Kedua-duanya yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa dalam prosiding yang berlangsung secara tertutup.
Mahkamah bagaimanapun menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan.
Sementara menunggu tarikh berkenaan, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan RM3,000 setiap seorang tanpa deposit.
Difahamkan, pelajar berusia 17 tahun didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua orang pelajar junior.
Sementara itu, pelajar berusia 16 tahun didakwa mengikut Seksyen 507B Kanun Keseksaan berhubung kesalahan membabitkan salah seorang junior.
Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh mengendalikan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Peguam Nurshalilah Fauzan Mailin bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak salah seorang mangsa.
Pada September tahun lalu, media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Kinarut, Papar menjadi mangsa buli oleh pelajar senior yang dipercayai berpunca daripada kelewatannya memasuki bilik asrama dalam kejadian pada malam 7 September 2025.
Susulan kejadian itu, ibu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar pada 9 September.
Seterusnya, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin, dalam satu kenyataan berkata pihak sekolah mengambil tindakan serta-merta berdasarkan peraturan disiplin yang berkuat kuasa.
Selain hukuman gantung sekolah, murid yang terlibat juga dirujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling bagi tujuan intervensi.






