Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Cadang kenderaan pemandu mabuk dirampas – Masiung

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Cadangan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat perlu disertai peruntukan lebih tegas bagi menangani kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Masiung Banah, menyambut baik cadangan pindaan itu dan menggesa kerajaan mempercepatkan proses penggubalan peruntukan berkenaan bagi membolehkan hukuman lebih tegas dikenakan terhadap pesalah.

Beliau berkata, BBC mencadangkan supaya pemandu yang didapati bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa dan keluarga mangsa.

“Selain membayar pampasan, BBC mencadangkan supaya akta itu dipinda bagi membolehkan kenderaan pesalah dirampas dan dilucut hak, khususnya bagi kes yang mengakibatkan kematian atau kecederaan parah.

“Jika Malaysia boleh melucutkan hak terhadap lori komersial secara kekal kerana membawa muatan berlebihan, pendekatan sama wajar dipertimbangkan bagi kes pemandu mabuk atau khayal dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Masiung, cadangan itu perlu memperincikan keadaan yang membolehkan rampasan mandatori dilaksanakan, termasuk bagi kesalahan berulang.

Katanya, kenderaan pesalah dicadangkan untuk disita di lokasi kejadian sebelum notis rampasan dikeluarkan kepada pemilik dalam tempoh 48 jam.

Beliau berkata, kes berkenaan perlu dibawa ke mahkamah dan perintah pelucuthakan dikeluarkan selepas sabitan, selain lesen memandu pesalah dibekukan.

Wakil rakyat Kuamut itu turut mencadangkan supaya hak milik kenderaan berkenaan dipindahkan kepada kerajaan sebelum dilelong selepas tempoh minimum 90 hari.

Bagaimanapun, katanya, cadangan itu perlu mengambil kira perlindungan terhadap pemilik pihak ketiga yang tidak bersalah, termasuk ibu bapa, majikan dan agensi kerajaan.

Beliau turut mencadangkan supaya budi bicara diberikan dalam pelaksanaan hukuman, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) yang melakukan kesalahan pertama melibatkan penunggang motosikal dengan tahap alkohol rendah.

LEAVE A RESPONSE