Read Time:1 Minute, 45 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah (HKHS) di Kota Kinabalu pada 31 Ogos ini dinasihatkan supaya membuat persediaan sewajarnya berikutan keadaan cuaca panas dan jerebu yang berlaku ketika ini.
Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata orang ramai yang hadir digalakkan membawa bekalan air mineral secukupnya sebagai persediaan sepanjang berada di lokasi sambutan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan orang ramai mempunyai bekalan air yang mencukupi, terutama mereka yang akan berada di lokasi sambutan sejak awal pagi.
“Kalau boleh saya minta kepada orang awam yang hadir nanti mereka membawa air mineral mereka sendiri. Itu sebagai ‘backup’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri raptai penuh sambutan HKHS di Dataran Bandaraya di sini pada Sabtu.
Dr Sabin berkata, pihak penganjur turut menyediakan minuman untuk peserta kontinjen yang menyertai perarakan Hari Kebangsaan, namun orang awam perlu membuat persediaan sendiri.
Katanya, kehadiran orang ramai dijangka tinggi pada sambutan tahun ini susulan penyertaan 179 kontinjen dalam perarakan.
Menurutnya, lebih 50,000 orang dijangka hadir memeriahkan sambutan berkenaan, termasuk peserta kontinjen.
“Tahun lepas yang hadir sendiri adalah 50,000. Jadi kali ini dengan barisan kontinjen yang begitu ramai, kita jangka lebih daripada 50,000,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keperluan asas, termasuk bekalan air, tersedia ketika menghadiri sambutan.
Dalam pada itu, Sabin turut menyeru pengunjung supaya memberi perhatian terhadap aspek kebersihan sepanjang berada di lokasi sambutan.
Beliau meminta orang ramai membuang botol air mineral serta sampah ke dalam tong sampah yang disediakan pihak berkuasa.
“Harapan saya sebagai Datuk Bandar supaya botol mineral itu dibuang pada tong sampah yang kami sediakan nanti, jaga kebersihan,” katanya.
Menurutnya, kerjasama orang ramai amat penting bagi memastikan lokasi sambutan kekal bersih dan selesa sepanjang acara berlangsung.
Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini dijadualkan bermula pada jam 7 pagi dengan penyertaan 179 kontinjen dalam acara perarakan dan dijangka berakhir sekitar jam 10.30 pagi.
Pada sebelah malam pula, sambutan Hari Sabah akan diadakan di lokasi sama bermula jam 7 malam. – SABAH MEDIA






