Read Time:1 Minute, 5 Second
LABUAN: Operasi di Lapangan Terbang Labuan terjejas selepas landasannya ditutup sementara susulan penemuan sebutir bom lama di kawasan luar pagar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kira-kira 150 meter dari landasan, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang, pihak Lapangan Terbang Labuan dimaklumkan mengenai penemuan bahan letupan itu sebelum Arahan Kawalan Trafik Udara (ATC) Labuan yang dikendalikan TUDM mengarahkan penutupan sementara landasan sebagai langkah keselamatan.
Susulan kejadian itu, Notis kepada Juruterbang (NOTAM) turut dikeluarkan oleh TUDM, manakala sebarang pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Labuan tidak dibenarkan sehingga kerja-kerja pemusnahan bom selesai dilaksanakan.
Malaysia Airports dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa TUDM bersama pihak berkuasa lapangan terbang sedang menjalankan pemeriksaan bersama ke atas landasan dan operasi hanya akan disambung semula selepas pemeriksaan selesai serta semua kelulusan yang diperlukan dikeluarkan.
Penutupan sementara itu menjejaskan sekurang-kurangnya lima penerbangan membabitkan sebuah pesawat Malaysia Airlines, sebuah pesawat AirAsia dan tiga pesawat AirBorneo yang dijadualkan tiba atau berlepas dari Lapangan Terbang Labuan.
Akibat penutupan berkenaan, beberapa penerbangan terpaksa dialihkan, ditangguhkan atau mengalami perubahan operasi.
Sehubungan itu, penumpang yang merancang perjalanan ke dan dari Labuan dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum menuju ke lapangan terbang.
Malaysia Airports berkata, perkembangan lanjut mengenai situasi itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa sebaik sahaja maklumat baharu diperoleh.






