Read Time:1 Minute, 25 Second
LABUAN: Sebuah premis perniagaan di luar bandar di sini dikenakan tindakan selepas didapati mengenakan harga RM3.30 bagi produk coklat yang dipamerkan pada harga RM3 di rak jualan.
Percanggahan harga sebanyak 30 sen itu dikesan sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan ketika menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan mendapati produk coklat berkenaan dipamerkan dengan tanda harga RM3.
Namun, ketika urusan pembayaran dibuat di kaunter, produk sama diimbas dan dikenakan harga RM3.30, iaitu 30 sen lebih tinggi daripada harga yang dipamerkan.
“Perbezaan harga tersebut boleh memberikan gambaran yang mengelirukan kepada pengguna mengenai harga sebenar sesuatu barang, khususnya apabila pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan harga yang dipamerkan di rak jualan,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Perenggan 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] kerana memberikan gambaran yang mengelirukan mengenai harga sesuatu barang bagi tujuan perdagangan.
Barang dan dokumen berkaitan turut diperiksa bagi membantu siasatan lanjut.
Junaidah berkata, KPDN Labuan memandang serius isu percanggahan harga kerana harga yang dipamerkan merupakan antara maklumat utama yang menjadi rujukan pengguna sebelum membuat keputusan pembelian.
Katanya, peniaga bertanggungjawab memastikan harga pada rak, label atau tanda harga adalah tepat dan selaras dengan harga yang dikenakan melalui sistem pembayaran di kaunter.
KPDN Labuan turut mengingatkan semua peniaga supaya membuat semakan secara berkala terhadap tanda harga dan sistem Point of Sale (POS), terutama apabila berlaku perubahan harga bagi mengelakkan pengguna dikenakan harga berbeza daripada yang dipamerkan.
Pengguna pula disaran menyemak harga pada rak dan resit selepas membuat pembayaran serta menyimpan resit sebagai bukti sekiranya terdapat percanggahan.
Sebarang maklumat atau aduan berkaitan salah laku perdagangan boleh disalurkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya.






