Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Bangunkan produk pelancongan beridentiti tersendiri di setiap daerah 

Read Time:2 Minute, 54 Second

KOTA BELUD: Setiap daerah di negeri ini perlu membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri bagi menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Sabah 2027.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, setiap daerah mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan, termasuk Kota Belud yang kaya dengan khazanah budaya, tradisi dan keindahan alam semula jadi. 

“Kota Belud adalah antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan, termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya dan alam semula jadi yang menarik untuk diterokai termasuk di pulau dan sungai. 

“Malah, daerah Kota Belud telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023. Ini menunjukkan potensi besar daerah ini dan seterusnya Sabah sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikiqn ketika berucap pada Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud 2026 di sini pada Sabtu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman bersama isteri Toh Puan Faridah Tussin. 

Hajiji berkata, Tamu Besar Kota Belud yang berusia 148 tahun juga merupakan antara acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan Sabah, dengan keunikan budaya, makanan tempatan, kraftangan dan kehidupan masyarakat setempat menjadi tarikan kepada pengunjung. 

Katanya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) turut mengiktiraf Tamu Besar Kota Belud sebagai antara acara khazanah dan budaya yang mempunyai nilai penting dalam landskap pelancongan negeri. 

Beliau mahu kekuatan khazanah itu terus dimanfaatkan sebagai produk pelancongan yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi masyarakat setempat. 

“Dengan pendekatan ini, manfaat sektor pelancongan tidak hanya tertumpu kepada industri dan pengusaha besar, tetapi turut sampai kepada pengusaha inap desa, petani, penternak, peniaga kecil, pengusaha makanan, penggiat kraftangan dan masyarakat setempat,” katanya. 

Menurutnya, Tamu Besar Kota Belud bukan sekadar tempat berjual beli atau bertukar barangan tetapi menjadi medan pertemuan sosial masyarakat pelbagai kaum dan agama, termasuk Bajau-Samah, Kadazandusun, Murut, Iranun dan Cina yang terus kekal sehingga kini. 

“Tradisi ini mesti terus dipelihara dan pada masa sama disesuaikan dengan tuntutan semasa supaya kekal relevan kepada generasi akan datang. 

“Melalui semangat perpaduan yang utuh di tamu ini, kita membuktikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Sabah adalah kekuatan terbesar kita untuk terus melangkah maju bersama-sama menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Kota Belud, selaras dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Pelan Pembangunan SMJ 2.0. 

Antaranya termasuk pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di laluan Kota BeludWariu yang kini hampir siap serta penyediaan kemudahan Digital Economy Centre di Wisma Majlis Daerah. 

“Kita mahu projek-projek pembangunan seperti ini memberi manfaat yang nyata kepada rakyat, sama ada dalam bentuk jaringan perhubungan yang lebih baik, kemudahan digital yang menyokong kegiatan ekonomi, mahupun peluang baharu kepada masyarakat untuk meningkatkan pendapatan,” katanya. 

Beliau berkata, Kota Belud sememangnya mempunyai kekuatan yang besar dalam sektor pertanian, khususnya tanaman padi, selain perusahaan kecil dan sederhana, makanan, kraftangan serta pelancongan.

Sementara itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus memberi perhatian kepada sektor-sektor lain kerana Sabah mahu kekuatan ekonomi yang diwarisi masyarakat Kota Belud diperkasakan dengan pendekatan baharu, teknologi, nilai tambah dan akses pasaran yang lebih luas. 

Katanya, daripada kira-kira 12,000 usahawan yang menerima pelbagai bentuk bantuan dan geran perusahaan kecil dan sederhana (IKS) di Sabah, seramai 1,800 orang adalah dari Kota Belud. 

“Ini menunjukkan besarnya potensi dan keupayaan usahawan daerah ini yang perlu terus kita sokong dan perkasa,” katanya. 

LEAVE A RESPONSE