Read Time:2 Minute, 14 Second
KUALA LUMPUR: Keselamatan dokumen perjalanan negara kini diperkukuh ke tahap tertinggi apabila kerajaan melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) struktur baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan berbanding hanya 49 ciri sebelum ini.
Langkah drastik itu diambil seiring dengan pengenalan pasport bagi tempoh sah laku 10 tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Pelancaran dokumen perjalanan versi baharu tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ruang Legar Dewan Rakyat, Parlimen, hari ini.
Peningkatan ciri keselamatan tersebut merupakan satu langkah transformasi penting bagi mendepani ancaman pemalsuan serta penyalahgunaan dokumen yang semakin kompleks di peringkat global.
Menurut kenyataan itu, 94 ciri keselamatan terbaharu tersebut merangkumi elemen visual, tersembunyi dan juga forensik.
”Antara teknologi keselamatan tinggi yang digunakan termasuklah guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram serta cetakan ultraviolet (UV).
”Kesemua ciri ini direka bentuk khusus bagi meningkatkan perlindungan daripada sebarang usaha pemalsuan atau pengubahsuaian dokumen perjalanan negara,” kata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan media, hari ini.
Teknologi yang diintegrasikan dalam PMA struktur baharu ini turut mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Ini sekali gus memastikan dokumen perjalanan Malaysia terus diiktiraf sebagai antara yang paling selamat, dipercayai dan paling berkuasa di dunia.
Selain pemerkasaan benteng keselamatan digital dan fizikal, bermula 1 Julai ini, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas kini diberikan pilihan sama ada mahu memohon pasport bagi tempoh sah laku lima tahun atau 10 tahun mengikut keperluan masing-masing.
Bagi kadar bayaran PMA tempoh sah laku 10 tahun, ia ditetapkan pada harga RM350, manakala bayaran pasport bagi tempoh lima tahun pula kekal RM200.
”Pengenalan tempoh sah laku 10 tahun ini turut memberi penjimatan sebanyak RM50 kepada pemohon berbanding kos pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dilakukan sebanyak dua kali bagi tempoh yang sama,” jelas kenyataan itu lagi.
Satu lagi kelainan menarik pada PMA struktur baharu ini adalah aspek hiasan dalaman yang mengetengahkan identiti nasional, warisan budaya, sejarah serta simbolik sistem Raja Berperlembagaan.
Bagi versi baharu ini, rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing diperkenalkan sebagai ikon utama bagi menggantikan Bunga Raya yang digunakan pada pasport sedia ada, sebagai lambang keunikan biodiversiti dan khazanah alam semula jadi negara.
Dalam pada itu, KDN memaklumkan pelaksanaan PMA struktur baharu ini akan dijalankan secara berperingkat di 71 pejabat pasport seluruh negara bermula Julai ini.
Bagi menyokong kelancaran operasi dan pengeluaran semasa yang mencecah purata 160,000 pasport sebulan, mesin pencetak generasi baharu yang mampu mencetak sehingga 60 pasport sejam akan digunakan.
Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan agar tidak panik atau tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya dokumen tersebut masih mempunyai tempoh sah laku yang panjang.
Ini kerana pasport lama masih sah dan boleh digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh tamat tempoh.





