Read Time:1 Minute, 22 Second
Oleh Normimie Diun
PITAS: Aktiviti mandi-manda di Sungai Bengkoka, Kampung Pondoi, di sini, bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut dipercayai lemas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.17 petang itu, lima mangsa bersepupu sedang menjalankan aktiviti mandi-manda di sungai berkenaan sebelum seorang daripada mereka dilaporkan lemas.
Ketua Balai Bomba Pitas, PBT II Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.17 petang sebelum sepasukan enam anggota dari BBP Pitas digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.41 petang itu dan terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan bot NADMA dengan kaedah Surface Water Rescue.
“Operasi pencarian dijalankan di Sungai Bengkoka dalam radius kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB),” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.
Menurut Noor Jali, operasi pencarian diteruskan sehingga mangsa ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 7.36 pagi hari ini di Sungai Bengkoka, kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
“Pasukan bomba kemudian membawa keluar mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital oleh pihak polis dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nurfaizah Azidah Johari, 11.
“Sementara itu, dua lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Dede, 4, dan Nursahadatul, 14, mengalami keadaan hampir lemas dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Dua mangsa lain, Lia, 18, dan Joy, 14, dilaporkan selamat,” katanya.
Operasi SAR yang turut membabitkan empat anggota polis itu ditamatkan pada jam 8.25 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.






