Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Projek Southern Link perlu dipercepat, elak Pantai Timur Sabah terus berdepan gangguan elektrik

Read Time:2 Minute, 1 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Pembinaan projek Southern Link perlu dipercepatkan bagi memperkukuh sistem bekalan elektrik di Sabah, khususnya di Pantai Timur yang masih bergantung kepada sumber tenaga daripada Grid Pantai Barat.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pelaksanaan projek berkenaan amat penting bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik sekiranya berlaku bencana alam seperti tanah runtuh, banjir dan hakisan tanah.

Beliau berkata, Kerajaan Sabah telah memohon supaya projek Southern Link diberi keutamaan sejak kira-kira 15 tahun lalu, namun permohonan berkenaan sebelum ini tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan di bawah pentadbiran Madani kini memberi perhatian kepada permohonan itu dengan meluluskan peruntukan awal bagi memulakan fasa pertama projek yang sedang dilaksanakan melibatkan laluan Ulu Padas-Sipitang sepanjang kira-kira 60 kilometer (KM).

“Jarak antara Sipitang ke Tawau lebih kurang 330 KM dan keseluruhan kos projek ini hampir mencecah RM1.5 bilion.

“Kita bersyukur kerana Perdana Menteri memberi perhatian kepada permohonan ini dan meluluskan peruntukan awal untuk fasa pertama. Kita berharap fasa seterusnya hingga ke Tawau dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2026 Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 4, di sini hari ini.

Menurut Nizam, kebergantungan kawasan Pantai Timur kepada sumber tenaga yang disalurkan daripada Grid Pantai Barat menyebabkan sebarang gangguan terhadap infrastruktur transmisi berpotensi memberi kesan besar kepada pengguna di Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.

Beliau turut menggesa Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) mempertingkat pemantauan serta pemeriksaan terhadap semua menara transmisi, terutama di kawasan berisiko mengalami hakisan tanah dan bencana alam.

Katanya, kejadian gangguan bekalan elektrik baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran, selain Sabah Electricity disaran menyampaikan maklumat mengenai punca sebenar kejadian dengan lebih pantas bagi mengelakkan spekulasi dalam kalangan masyarakat.

“Kita berharap pihak Sabah Electricity, sekiranya perkara sebegini berlaku, dapat sesegera mungkin memaklumkan kepada masyarakat apa sebenarnya yang berlaku.

“Kita tidak mahu andaian-andaian yang keluar daripada konteks sebenar, sedangkan kejadian itu berlaku akibat hakisan berhampiran menara yang tumbang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nizam menggalakkan penduduk Sabah mengambil peluang menyertai Program Solar Rakyat bagi menggalakkan pemasangan sistem solar di kediaman sebagai salah satu usaha ke arah penggunaan tenaga hijau dan kelestarian tenaga.

Katanya, pemasangan solar bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan elektrik konvensional ketika berlaku gangguan, malah mampu memberikan penjimatan kepada pengguna dalam jangka panjang.

LEAVE A RESPONSE