Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Hajiji sifat pemergian Abdul Gani Patail kehilangan besar buat Sabah, Negara

Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Pemergian bekas Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail, merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Sabah, malah seluruh rakyat Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Allahyarham yang berasal dari Lahad Datu telah banyak menabur jasa dan bakti dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam negara sepanjang hayatnya.

Menurutnya, segala sumbangan dan khidmat bakti Allahyarham akan sentiasa dikenang, khususnya dalam pembangunan serta pengukuhan institusi perundangan negara.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negeri Sabah malah kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Sebagai anak Sabah kelahiran Lahad Datu, Allahyarham telah menabur jasa dan bakti dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam negara. Segala sumbangan dan khidmat bakti beliau akan sentiasa dikenang,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergian tokoh perundangan berkenaan.

Hajiji mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan dosa-dosa beliau dan menempatkan Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Al-Fatihah,” katanya.

Allahyarham Abdul Gani dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.15 malam Khamis akibat jangkitan, seperti disahkan anaknya, Faezul Adzra Patail.

Allahyarham merupakan Peguam Negara kelapan Malaysia yang berkhidmat dari 1 Januari 2002 hingga 27 Julai 2015.

Dilahirkan pada 6 Oktober 1955 di Lahad Datu, Sabah, Allahyarham memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya pada 1979.

Beliau memulakan kerjaya sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Kota Kinabalu sebelum dilantik sebagai Penasihat Undang-Undang Persekutuan Kanan di Sabah pada 1985.

Allahyarham kemudian menyertai Jabatan Peguam Negara pada Januari 1994 dan pernah memegang beberapa jawatan kanan termasuk Ketua Bahagian Pendakwaan serta Ketua Bahagian Penasihat dan Antarabangsa.

Pelantikannya sebagai Peguam Negara pada 2002 menyaksikan beliau berkhidmat dalam jawatan itu selama lebih 13 tahun sebelum perkhidmatannya berakhir pada Julai 2015.

LEAVE A RESPONSE