Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sekolah kerap dilanda banjir dicadang dipindahkan ke tapak lebih selamat

Read Time:1 Minute, 6 Second

KUALA LUMPUR: Sekolah yang sering terjejas akibat banjir di daerah Sipitang dan Beaufort dicadang dipindahkan ke tapak baharu yang lebih selamat bagi mengatasi masalah berulang yang menjejaskan keselamatan warga sekolah serta proses pembelajaran.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, langkah itu antara tindakan yang perlu dipertimbangkan bagi menangani isu banjir dan keadaan infrastruktur pendidikan yang daif di kedua-dua daerah berkenaan.

Katanya, permohonan berkaitan pemindahan beberapa sekolah ke lokasi baharu yang lebih selamat telah dikemukakan kepada pihak berkaitan pada Ogos dan September tahun lalu.

Menurutnya, kejadian banjir yang kerap berlaku bukan sahaja menjejaskan kemudahan sekolah, malah memberi kesan kepada kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran murid.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Peringkat Jawatankuasa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Dewan Rakyat hari ini.

Matbali berkata, berdasarkan Laporan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sebanyak 39 sekolah di daerah Beaufort dan Sipitang terjejas akibat banjir.

Daripada jumlah itu, 33 merupakan sekolah rendah, tiga sekolah menengah, dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan sebuah Kolej Vokasional.

Katanya, daripada 33 sekolah rendah yang terjejas, sebanyak 14 terletak dalam Parlimen Sipitang, selain sebuah sekolah menengah iaitu SMK Gadong.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan pemindahan sekolah berkenaan mendapat perhatian dan pertimbangan serius KPM supaya penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan demi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif. SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE