Read Time:2 Minute, 40 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerjasama dengan sektor swasta dalam pelaksanaan projek pembangunan bukan bermakna kerajaan memperoleh pembiayaan atau kemudahan secara percuma, sebaliknya komitmen kewangan itu mungkin perlu ditanggung dalam tempoh panjang dan memberi kesan kepada kedudukan kewangan negeri pada masa depan.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata setiap cadangan kerjasama perlu dinilai secara teliti dengan mengambil kira kemampuan kewangan negeri, kos keseluruhan projek serta manfaat yang bakal diterima rakyat.
Katanya, penglibatan sektor swasta melalui Public-Private Partnership (PPP) dan Private Finance Initiative (PFI) merupakan antara pendekatan yang wajar diterokai bagi memenuhi keperluan pembangunan Sabah, khususnya dalam penyediaan bekalan air, elektrik, jaringan perhubungan dan kemudahan asas lain.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama itu mestilah berasaskan pembahagian risiko yang adil dan munasabah, tanpa meletakkan segala beban serta kerugian kepada kerajaan sekiranya timbul masalah.
“Kita tidak mahu suatu bentuk kerjasama di mana keuntungan menjadi milik pihak swasta, tetapi apabila timbul masalah, segala risiko dan kerugian akhirnya ditanggung oleh kerajaan.
“Kerjasama yang baik ialah kerjasama yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak tanpa mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan dan menutup Seminar PPP & PFI: From Policy to Strategy di Dewan Al-Bukhari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, di sini, hari ini.
Masidi berkata, keutamaan pembangunan negeri perlu ditentukan berdasarkan keperluan sebenar Sabah, bukannya semata-mata projek atau tawaran yang dikemukakan pihak swasta, kerana tidak semua cadangan yang menarik di atas kertas benar-benar diperlukan rakyat.
Katanya, Kerajaan Negeri telah meluluskan Garis Panduan Pelaksanaan Kerjasama Awam-Swasta Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2026, dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah (UPEN) berperanan menyelaras dan menilai cadangan projek berdasarkan keperluan pembangunan, daya maju ekonomi serta manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, setiap cadangan perlu melalui penilaian teliti dan objektif oleh agensi kerajaan berkaitan, manakala prinsip Value for Money perlu menjadi asas pertimbangan, meliputi keseluruhan kos sepanjang hayat projek termasuk pembiayaan, operasi, penyelenggaraan dan kualiti perkhidmatan, bukan hanya kos pembinaan.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan aset yang diserahkan semula kepada kerajaan selepas tamat tempoh konsesi berada dalam keadaan baik dan tidak memerlukan perbelanjaan besar untuk dibaik pulih.
Sehubungan itu, tanggungjawab penyelenggaraan, standard prestasi serta syarat penyerahan aset perlu diperincikan sejak awal perjanjian bagi mengelakkan masalah pada penghujung tempoh konsesi.
Dalam pada itu, Masidi mahu pelaksanaan projek turut membuka ruang penyertaan lebih bermakna kepada anak Sabah, termasuk golongan profesional, perunding, syarikat tempatan dan tenaga kerja mahir, bukan hanya terhad kepada kerja kecil atau subkontrak.
Katanya, institusi kewangan juga berperanan menyediakan struktur pembiayaan inovatif dan bersesuaian, termasuk sukuk serta instrumen pembiayaan patuh Syariah, namun kaedah pembiayaan tidak dapat menggantikan asas komersial yang kukuh bagi memastikan sesuatu projek berdaya maju.
Beliau turut mengingatkan supaya tanggungjawab terhadap alam sekitar tidak diabaikan dalam mengejar pembangunan ekonomi, dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perlu diterapkan dalam perancangan serta pelaksanaan projek bagi memelihara biodiversiti dan sumber semula jadi Sabah.
Dalam pada itu, Masidi berharap seminar itu dapat memberi pendedahan kepada mahasiswa bahawa bidang kewangan bukan sekadar berkaitan angka dan keuntungan, sebaliknya keputusan kewangan turut membawa kesan kepada kehidupan masyarakat.
“Ukuran kejayaan sesuatu projek bukan berdasarkan nilai pelaburan yang diumumkan atau jumlah perjanjian ditandatangani, tetapi sejauh mana ia dapat dilaksanakan, memberi manfaat kepada rakyat dan meninggalkan nilai berkekalan kepada Sabah,” katanya.





