Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah kekal had umur belia sehingga 40 tahun

Read Time:1 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun bagi memastikan golongan berkenaan terus mendapat peluang menyertai pelbagai program pembangunan, latihan kemahiran dan peningkatan ekonomi.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keputusan Kabinet Negeri itu mengambil kira keadaan geografi dan sosioekonomi Sabah, terutama keperluan golongan belia di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Katanya, golongan berusia 31 hingga 40 tahun masih memerlukan akses kepada peluang pembangunan selain mempunyai pengalaman yang boleh disumbangkan kepada komuniti masing-masing.

Beliau berkata, Sabah kekal dengan pendirian itu sebagaimana yang disuarakan pada persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) peringkat negeri baru-baru ini.

Nizam berkata, pendirian kerajaan negeri itu turut mendapat pujian Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

“Saya menghargai pujian Presiden Majlis Belia Malaysia, saudara Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, terhadap keputusan Kerajaan Negeri Sabah mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun.

“Sabah konsisten dengan pendirian ini, sebagaimana yang saya nyatakan pada persidangan MPBN peringkat negeri baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan selepas menghadiri MPBN Sidang IV, Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026 di Putrajaya, semalam.

Menurutnya, pendirian itu akan diterjemahkan menerusi cadangan Enakmen Pembangunan Belia Sabah yang sedang dirangka untuk dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelak.

Tambahnya, cadangan enakmen berkenaan juga bertujuan memperkukuh pengurusan pertubuhan belia serta menyediakan asas lebih tersusun bagi pembangunan belia di negeri ini.

LEAVE A RESPONSE