Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerjasama GRS, PH dan BN perlu diteruskan – Hajiji

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu diteruskan bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri serta kelangsungan agenda pembangunan Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan yang stabil amat penting untuk memastikan segala perancangan dan dasar pembangunan dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, GRS ditubuhkan bagi memenuhi aspirasi rakyat Sabah yang mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan mengutamakan kepentingan negeri.

“Kita mahu stabil. Kalau kita mahu stabil, kita kena bekerjasama dengan apa yang ada dalam kerajaan sekarang. Kerjasama kita dengan PH dan BN ini akan kita teruskan dalam Pilihan Raya Umum dan juga Pilihan Raya Negeri yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam Ketua Menteri Sabah bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam Ahad.

Hajiji berkata, perjuangan politik perlu berlandaskan kejujuran serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri, bukannya sekadar menyampaikan kenyataan atau retorik tanpa tindakan.

Katanya, beliau mengambil iktibar daripada perkembangan politik sebelum ini dan berharap semua pihak yang berada dalam kerajaan memberikan komitmen terhadap kerjasama yang telah dibentuk.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS ketika ditemui pemberita berkata, perbincangan mengenai kerjasama politik antara GRS, BN dan PH bagi menghadapi PRU akan datang belum dimulakan, namun kerjasama dalam kerajaan negeri ketika ini akan diteruskan.

Katanya, kestabilan politik penting bagi memastikan pembangunan negeri dapat dirancang dengan lebih teratur dan berkesan demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, pandangan daripada BN dan PH berhubung kerjasama politik itu akan dibincangkan bagi mencapai persetujuan bersama, namun menegaskan GRS kekal sebagai peneraju kerajaan negeri.

“Jajaran politik dalam kerajaan sekarang ini, itulah kita teruskan. Nanti kita akan bawa berbincang untuk mencari persetujuan bersama. Tapi bagi saya, kerajaan yang kita pimpin ini ialah kerajaan yang diketuai oleh GRS,” tegasnya..

LEAVE A RESPONSE