Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

PBNS perluas bantuan kebajikan kepada penduduk kawasan pedalaman dan pulau

Read Time:1 Minute, 15 Second

LAHAD DATU: Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) terus memperluas jaringan kebajikan bagi memastikan golongan yang memerlukan, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau, tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Komitmen itu dizahirkan menerusi Program Jelajah Kasih PBNS dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Daerah Lahad Datu yang menyaksikan pengagihan sebanyak 150 bakul makanan kepada penduduk sekitar Pulau Tambisan dan Mukim Tambisan Darat.

Menurut PBNS dalam kenyataannya, penganjuran program berkenaan merupakan manifestasi komitmen berterusan pihaknya dalam memperluas jaringan kebajikan serta menyantuni golongan yang memerlukan.

“Inisiatif ini juga bertujuan meringankan beban perbelanjaan harian penerima di samping memastikan manfaat pengurusan dan pengagihan dana baitulmal dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Agihan bantuan berkenaan dilaksanakan di tiga lokasi iaitu Masjid Nur Hidayah, Pulau Tambisan; Masjid Nurul Iman, Sungai Nipah, Mukim Tambisan Darat dan Masjid Datuk Haji Mahiruddin Imam Haji Hussin, Mukim Tambisan Darat.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Pengerusi PBNS, Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Datuk Sulaiman Omar bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PBNS, Mohd Arif Hairal, dengan disaksikan Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Daerah Lahad Datu, Mardi Arifin.

PBNS berkata, usaha berkenaan turut mencerminkan kepentingan memastikan pengurusan dan pengagihan dana baitulmal dapat memberikan manfaat kepada masyarakat secara lebih menyeluruh, termasuk penduduk di kawasan yang jauh dari pusat bandar.

Pihaknya berharap sumbangan yang disalurkan dapat memberikan manfaat, meringankan beban penerima serta menyuntik kegembiraan dalam kehidupan mereka.

“Semoga usaha kecil ini menjadi sebahagian daripada ikhtiar besar dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera, prihatin dan saling membantu,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A RESPONSE