Read Time:2 Minute, 13 Second
KOTA KINABALU: Peningkatan keyakinan dan minat murid untuk mengikuti kelas pemulihan menjadi antara perkembangan positif hasil pelaksanaan Program Anak Kita (PAK) 2026: Pemerkasaan 3M Murid Pemulihan Sabah.
Perkembangan itu dikenal pasti menerusi pemantauan berkala yang dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Persatuan Himpunan Ilmuan UMS (HIUMS) di 62 sekolah membabitkan 15 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sabah.
Ketua Penyelidik PAK 2026, Dr Juppri Bacotang berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada guru berhubung perubahan sikap murid yang semakin bersemangat menghadiri kelas pemulihan dan lebih yakin untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Katanya, kemajuan itu turut dapat dilihat melalui peningkatan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), termasuk kebolehan mengenal huruf, membaca perkataan serta menyelesaikan pengiraan mudah.

Menurutnya, walaupun pencapaian berkenaan mungkin kelihatan kecil, ia membawa makna besar kepada murid yang sebelum ini berdepan kesukaran menguasai kemahiran asas pembelajaran.
“Apa yang paling menggembirakan kami bukan sekadar melihat modul dapat dilaksanakan dengan baik, tetapi apabila guru berkongsi bahawa murid semakin bersemangat untuk hadir ke kelas pemulihan, lebih yakin mencuba dan mula menunjukkan kemajuan dalam kemahiran membaca, menulis serta mengira.
“Bagi sesetengah murid, kejayaan mengenal satu huruf, membaca satu perkataan atau menyelesaikan satu pengiraan mudah mungkin kelihatan kecil, namun bagi mereka yang telah lama berusaha, setiap pencapaian itu merupakan langkah besar yang membawa harapan baharu,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan intervensi berkenaan turut didorong kerjasama pembantu pengajar, guru penolong kanan (GPK), pihak sekolah dan ibu bapa dalam menyediakan sokongan pembelajaran serta motivasi kepada murid.
Selain intervensi di bilik darjah, pembantu pengajar turut melaksanakan program motivasi bagi meningkatkan keyakinan, minat dan semangat murid untuk terus mengikuti proses pembelajaran.
Sementara itu, Penyelidik Bersama PAK 2026, Profesor Madya Dr Abd Aziz Rekan berkata, program berkenaan turut memberi peluang kepada guru dan pembantu pengajar mengembangkan kreativiti dalam menghasilkan bahan bantu mengajar serta menerapkan kaedah pengajaran lebih inovatif.
Katanya, usaha itu diharap dapat menyumbang kepada pembentukan budaya inovasi dalam pendidikan pemulihan, sekali gus memberikan manfaat lebih besar kepada murid.
Dalam pada itu, Penyelidik Bersama yang juga Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS, Profesor Madya Dr Soon Singh Bikar Singh berharap pendekatan serta amalan baik yang diperkenalkan menerusi program itu dapat diteruskan oleh pihak sekolah walaupun selepas tempoh pelaksanaannya berakhir.
Beliau berkata, perubahan paling penting ialah apabila murid yang sebelum ini kurang yakin mula berani mencuba, tidak takut melakukan kesilapan dan percaya terhadap kemampuan diri sendiri.
Program Anak Kita merupakan inisiatif nasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui bersama Unit Pantau MADANI di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Yayasan Hasanah, dengan HIUMS sebagai salah satu rakan pelaksana.
Pemantauan di 62 sekolah itu turut memberi tumpuan kepada keberkesanan pelaksanaan intervensi, penggunaan modul, perkembangan pembelajaran murid serta cabaran dan keperluan penambahbaikan di peringkat sekolah.





