Read Time:1 Minute, 3 Second
KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan sebanyak 14 keping tawaran kompaun kepada pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka di jalan serta kawasan awam yang tidak dibenarkan.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, kompaun yang dikeluarkan dalam satu operasi itu dikelaurkan di bawah Undang-undang Kecil (Peruntukan Tempat-tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Awam Berkupon) Bandaraya Kota Kinabalu 2014.
“DBKK telah menerima aduan awam berhubung kesesakan lalu lintas yang berlaku di Tanjung Aru baru-baru ini, berpunca daripada tindakan segelintir individu yang meletakkan kenderaan mereka di jalan serta kawasan awam yang tidak dibenarkan.

“Bertindak atas aduan tersebut, seramai lima anggota daripada Jabatan Penguatkuasaan, DBKK telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kenderaan telah diletakkan secara tidak teratur hingga menyebabkan gangguan kepada aliran trafik di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan itu di sini.
Operasi itu turut disertai anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang turut mengambil tindakan terhadap pesalah trafik.
DBKK merakamkan penghargaan kepada IPD Kota Kinabalu di atas kerjasama dan sokongan berterusan dalam memastikan keselamatan dan keteraturan di sekitar bandar raya sentiasa terpelihara.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas yang berkuat kuasa bagi memastikan kelancaran aliran trafik serta kesejahteraan pengguna jalan raya. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK






