Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Lima kampung di Kota Belud terima peruntukan RM1 juta selenggara jalan

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh Raul G

KOTA BELUD: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) di lima buah kampung, daerah ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, ia bertujuan bagi meningkatkan kemudahan asas pertanian yang melibatkan tiga kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian iaitu Kampung Nahaba, Kampung Tambulion dan Kampung Talungan.

Beliau berkata, dua lagi daripada projek itu melibatkan kampung di DUN Tempasuk (Kampung Kalibungan) dan DUN Pintasan (Kampung Dudar Ulu).

“Peruntukan ini penting untuk memudahkan urusan pengangkutan hasil sawit oleh pekebun kecil serta menjamin kelancaran aktiviti ekonomi setempat.

“Di peringkat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), kita juga bekerjasama untuk membantu koperasi-koperasi yang terlibat dalam sektor perladangan”.

“Sebagai contoh, KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyalurkan geran pembangunan sebanyak RM69,000 kepada Koperasi Pekebun Kecil Sawit Mampan Kota Belud bagi menaik taraf kemudahan di pusat timbangan sawit di Kampung Rosok,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit dan Koko di Dewan Gopog, Taginambur, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Penyelaras Negeri Sabah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Amran Arifin serta Pengarah Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengembangan Lembaga Koko Malaysia, Abdul Karim Che Hamid.

Menurut Ewon yang juga penyandang kerusi DUN Kadamaian berkata, menerusi pendekatan whole-of-government, kementerian yang dipimpinnya akan terus melengkapkan usaha pembangunan sektor komoditi dengan memperkukuh peranan koperasi.

Katanya, kerjasama antara kementerian dan agensi berkaitan memberi manfaat menyeluruh kepada pekebun kecil, usahawan serta koperasi, terutama dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan rantaian bekalan komoditi negara.

Pads majlis itu, Ewon turut menerima taklimat daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM) mengenai pelbagai inisiatif termasuk penubuhan koperasi pekebun kecil sawit mampan dan koperasi kluster koko.

Selain itu, beliau juga menyampaikan beberapa anugerah pekebun kecil sawit dan koko cemerlang serta sijil Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada pekebun kecil di Kota Belud.

LEAVE A RESPONSE