Read Time:1 Minute, 55 Second
KUNDASANG: Penanda arah kiblat yang disemak dan disahkan Jabatan Mufti Negeri Sabah berjaya ditempatkan di beberapa hentian rehat sepanjang laluan pendakian Gunung Kinabalu bagi memudahkan urusan ibadah dalam kalangan pendaki.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi misi pendakian Gunung Kinabalu yang disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan bersama warga agensi agama.
Usaha berkenaan memberi perhatian terhadap keperluan umat Islam untuk menunaikan ibadah ketika melakukan aktiviti pendakian, khususnya di kawasan hentian rehat sepanjang perjalanan menuju ke puncak gunung berkenaan.
Penanda arah kiblat itu terlebih dahulu disemak dan disahkan Jabatan Mufti Negeri Sabah bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat dijadikan panduan kepada pendaki yang ingin menunaikan solat.

Menurut kenyataan dikongsikan menerusi program berkenaan, pemasangan penanda itu turut menjadi sebahagian daripada pengisian misi pendakian yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aktiviti fizikal, malah turut menitikberatkan aspek penghayatan agama.
Misi berkenaan menyaksikan Zulkifli bersama warga agensi agama berjaya menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu selepas mengharungi cabaran pendakian dalam keadaan cuaca sejuk dan hujan.
Kumpulan berkenaan mengambil masa kira-kira lima jam untuk tiba di Panalaban pada jam 3 petang sebelum membuat persediaan meneruskan pendakian ke puncak pada tengah malam.
Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memperkukuh usaha mendekati masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program kebajikan, kesihatan dan keagamaan bersama komuniti Kampung Mesilou, Kundasang.
Program berkenaan turut menjadi sebahagian daripada pengisian Misi Menawan Kinabalu dan Santunan Komuniti di Bumi Sabah yang disertai Dr Zulkifli Hasan.
Antara aktiviti dilaksanakan ialah pengagihan bakul makanan kepada penduduk setempat, selain saringan kesihatan yang dikendalikan Malaysian Relief Agency (MRA) bagi memberi perhatian terhadap aspek kesejahteraan masyarakat.
Program itu turut menyediakan kaunter perkhidmatan Tabung Haji bagi memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan berkaitan.
Dalam aspek pengukuhan ilmu agama, bengkel tahsin ibadah dan diskusi agama bersama Timbalan Mufti Negeri Sabah turut diadakan bagi memberi ruang kepada masyarakat mendalami pengetahuan serta meningkatkan kefahaman berkaitan pelaksanaan ibadah.
Pengisian program turut melibatkan golongan kanak-kanak menerusi pertandingan mewarna, manakala aktiviti gubahan buah-buahan dan kenduri rakyat menjadi antara pengisian yang memeriahkan program berkenaan.
Penganjuran pelbagai aktiviti itu turut membuka ruang interaksi antara warga agensi agama dengan masyarakat setempat, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kebersamaan.
JAKIM merakamkan penghargaan kepada semua agensi, rakan strategik, petugas serta komuniti setempat, khususnya penduduk Kampung Mesilou, atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan keseluruhan program berkenaan.





