Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerajaan diharap terus tingkat kemudahan di Kampung Manggis, Papar

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Florieta Diet

PAPAR: Peniaga gerai tepi jalan di Kampung Manggis, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau, berharap kerajaan sedia ada akan terus diberi mandat untuk mentadbir agar pembangunan di kawasan itu dapat diteruskan dan kemudahan asas ditambah baik.

Seorang peniaga, Martha Sikansang, 57, berkata beliau akan terus menyokong Datuk Juil Nuantim sekiranya dikekalkan sebagai calon DUN Limbahau pada pilihan raya kali ini.

“Datuk Juil banyak membantu para peniaga tepi jalan termasuklah pembinaan gerai kekal yang lebih selamat dan tersusun.

“Difahamkan kami akan berpindah ke kawasan gerai baharu berdekatan apabila siap tidak lama lagi. Kawasan itu mempunyai 30 lot gerai dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air, tandas awam dan elektrik.

“Tempat itu belum siap sepenuhnya, dan kami berharap ia benar-benar selesa untuk peniaga serta pengunjung. Ini penting untuk keselamatan kami juga sebab tempat kami berniaga sekarang betul-betul di tepi jalan raya utama,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Anna Siau, 42, berkata keadaan di kampung berkenaan masih banyak yang perlu ditambah baik, khususnya jalan raya dan bekalan air.

Apabila ditanya mengenai prestasi kerajaan sedia ada, beliau berkata walaupun ada kelemahan, tapi ada juga yang baik. Bagi saya, wakil rakyat sini, Datuk Juil memang mesra rakyat dan banyak membantu,” katanya.

Anna turut berharap gerai kekal baharu yang menempatkan peniaga tepi jalan itu dapat disiapkan dengan segera kerana masih terdapat beberapa kemudahan belum lengkap.

“Setakat yang saya tahu, bekalan air dan elektrik belum disambung. Laluan untuk pengunjung juga perlu ditambah baik, sebaiknya disimen sebab agak licin bila hujan,” katanya yang sudah lebih 20 tahun berniaga buah-buahan dan sayur-sayuran di tepi jalan Kampung Manggis.

LEAVE A RESPONSE