Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Lelaki dipenjara lima tahun, satu sebat ambil syabu kali ketiga

Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini  selepas mengaku bersalah mengambil dadah jenis syabu buat kali ketiga.

Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ismail Al Buny Waymi, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Amir Shah menasihati Mohd Ismail supaya tidak lagi mencari dadah, sebaliknya mencari pasangan hidup.

Amir Shah mengingatkan tertuduh bahawa dia masih muda dan perlu menggunakan peluang itu untuk berubah, bukannya kembali terjebak dengan dadah.

Tegasnya, setiap individu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat dalam hidup dan perlu menerima akibat daripada kesalahan yang dilakukan.

“Kita sendiri yang membuat keputusan dalam hidup. Berubahlah semasa berada di penjara. Cari pekerjaan dan jadilah orang yang baik. Jangan rosakkan hidup sendiri,” katanya.

Mohd Ismail didapati mengambil dadah itu pada jam 10.50 malam, 19 September tahun ini, selepas ujian air kencingnya di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di sini didapati positif syabu.

Tertuduh yang dilihat menangis ketika mendengar nasihat mahkamah mempunyai dua rekod sabitan terdahulu bagi kesalahan mengambil syabu pada 2015 dan 2022.

Kesalahan mengikut Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya, dibaca bersama Seksyen 39B(1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara lima tahun itu bermula dari tarikh tangkap, selain tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Terdahulu, dalam rayuannya, Mohd Ismail yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia mempunyai ibu yang perlu dijaga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan berulang kali oleh tertuduh serta penularan kesalahan berkenaan.

LEAVE A RESPONSE