Read Time:1 Minute, 28 Second
RANAU : Pelajar muzik di Ranau mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM), sekali gus membuktikan potensi anak-anak daerah itu dalam bidang seni muzik.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kejayaan itu mencerminkan kesungguhan pelajar, dedikasi tenaga pengajar serta sokongan ibu bapa dalam usaha membangunkan bakat muzik generasi muda.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan turut disusuli kejayaan pelajar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus membuktikan anak-anak dari Ranau berupaya melangkah lebih jauh sekiranya diberikan latihan, bimbingan dan peluang sewajarnya.
“Pencapaian ini merupakan satu kebanggaan kerana membuktikan bahawa anak-anak dari daerah Ranau mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam bidang muzik,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin, ketika merasmikan Majlis Talent Music Ranau Student Recital 2026 di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Ranau, di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, penganjuran program yang memasuki edisi ke-11 itu memperlihatkan peranan penting Talent Music Ranau dalam menyediakan pendidikan, latihan dan bimbingan muzik kepada generasi muda.
Menurutnya, platform persembahan seumpama itu bukan sahaja menjadi ruang untuk mengetengahkan bakat pelajar, malah membantu membina keyakinan diri, keberanian serta kematangan mereka menerusi pengalaman membuat persembahan di hadapan khalayak.
Sehubungan itu, beliau menegaskan sokongan berterusan daripada ibu bapa, tenaga pengajar dan masyarakat amat penting bagi memastikan pembangunan bakat seni muzik di daerah berkenaan terus berkembang.
Katanya, Kerajaan Negeri turut komited menyokong usaha berkenaan melalui kerjasama serta penyediaan peluang bersesuaian bagi melahirkan lebih ramai pemuzik dan penggiat seni tempatan.
Beliau berharap Talent Music Ranau akan terus komited memperluas peluang pembelajaran dan persembahan muzik kepada generasi muda, sekali gus memperkayakan landskap kebudayaan daerah Ranau.





