PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas dua hari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) susulan kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal di Jalan Putatan-Ramayah, berhampiran Kampung Ulu Putatan, pada 5 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah malam itu, mangsa berusia 45 tahun yang merupakan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia pada 7 November 2026.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang lelaki berusia 28 tahun bersama mangsa.
“Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk mendapatkan rawatan.
“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.





