Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Perpustakaan desa perlu diperkasa sebagai pusat pembelajaran digital – Masidi

Read Time:1 Minute, 54 Second

RANAU: Perpustakaan desa perlu diperkasakan sebagai pusat pembelajaran digital bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak tercicir dalam arus perkembangan teknologi, selain membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, perpustakaan masa kini bukan lagi sekadar tempat membaca dan meminjam buku, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat akses maklumat, pembangunan kemahiran digital serta perkongsian ilmu.

Beliau berkata, dalam era perkembangan teknologi yang pesat, masyarakat bukan sahaja perlu mahir menggunakan peranti digital, malah berupaya menilai kesahihan maklumat, menjaga keselamatan ketika melayari internet serta memanfaatkan teknologi secara berhemah dan produktif.

“Perpustakaan desa mempunyai peranan strategik dalam meningkatkan literasi digital, khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar supaya mereka dapat memanfaatkan teknologi untuk pendidikan, pekerjaan dan aktiviti ekonomi,” katanya.

Johari mewakili Masidi merakamkan gambar kenangan dalam program tersebut. Turut bersama Anisatul-Wahidah Abdul Wahid (duduk, dua dari kiri)

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Komuniti Bestari (SKB) @ Perpustakaan Desa Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Pisompuruon, Kampung Paka 2, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan turut menggalakkan golongan muda memanfaatkan kemudahan teknologi bukan sekadar untuk hiburan, tetapi sebagai medium menimba ilmu, mengembangkan kreativiti, meningkatkan kemahiran dan meneroka peluang ekonomi baharu.

Katanya, penggunaan teknologi digital juga mampu membantu usahawan kecil mempromosikan produk tempatan, memperluas pasaran serta meningkatkan pendapatan keluarga.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kemajuan digital perlu bergerak seiring dengan pembudayaan ilmu dan amalan membaca bagi melahirkan masyarakat berpengetahuan, berfikiran kritis serta berdaya saing.

“Pelaburan dalam pendidikan, pembangunan kemahiran dan peningkatan keupayaan masyarakat merupakan antara asas penting untuk membina masa depan Sabah yang lebih kukuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan pemimpin setempat dapat terus diperkukuh bagi memastikan perpustakaan desa dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat pembelajaran yang relevan dengan keperluan semasa.

Program berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, teknologi dan kemasyarakatan, termasuk pameran agensi kerajaan dan swasta, kuiz digital Kahoot, pertandingan mewarna, sesi bercerita, pertandingan catur serta e-sukan Mobile Legends bagi menggalakkan penyertaan aktif komuniti.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah PNM, Anisatul-Wahidah Abdul Wahid; Ketua Bahagian Rangkaian Perpustakaan Negeri Sabah; Penolong Pegawai Daerah (Pentadbiran) Ranau, Jeffarison Solingkin serta tetamu jemputan lain.

LEAVE A RESPONSE