Read Time:1 Minute, 25 Second
KOTA KINABALU: Seramai 35 wakil belia, mahasiswa dan organisasi di Sabah terpilih menyertai Program Youth Exchange 2026 – Perintis Muda Go Global ke Korea Selatan bagi memperluas pengetahuan serta pengalaman di peringkat antarabangsa.
Program yang berlangsung dari 8 hingga 14 November itu mendapat tajaan penuh Kerajaan Sabah menerusi Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta dalam bidang pendidikan, teknologi, inovasi dan pembangunan kepimpinan.

Menurutnya, pengalaman yang diperoleh sepanjang program itu diharap dapat meningkatkan keupayaan belia Sabah untuk menjadi generasi berpengetahuan, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Anak muda masa kini merupakan aset masa hadapan Sabah. Melalui program ini, mereka berpeluang menimba ilmu, pengalaman serta mempelajari budaya kerja di Korea Selatan yang terkenal dengan kemajuan teknologinya.
“Kita berharap segala pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Pelepasan Delegasi Program Youth Exchange 2026 – Perintis Muda Go Global ke Republik Korea, di sini, pada Jumaat.
Nizam berkata, antara pengisian program itu ialah pembentangan akademik oleh mahasiswa Sabah yang merangkumi tiga bidang utama, iaitu kelestarian alam sekitar dan inovasi ekonomi biru, komuniti pintar dan inovasi digital serta inovasi pertanian dan keselamatan makanan.

Katanya, penyertaan dalam program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementeriannya memperkasa pembangunan modal insan, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau berkata, Program Perintis Muda Go Global yang dilaksanakan sejak 2023 akan terus disokong bagi memastikan lebih ramai belia Sabah mendapat peluang meneroka pengalaman dan peluang pembangunan di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menghargai kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS) dan Majlis Belia Sabah dalam menjayakan program berkenaan.





