Read Time:1 Minute, 0 Second
KOTA KINABALU: Seorang petani didenda RM12,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memiliki 10,290 mililiter cecair mitragynine.
Tertuduh, Jeffry Joanes, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hurman Hussain pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, Jeffry didapati memiliki bahan psikotropik jenis mitragynine berkenaan di sebuah rumah tanpa nombor di Ranau pada 7 Ogos lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mitragynine ialah bahan aktif yang terdapat dalam daun ketum (Mitragyna speciosa) dan disenaraikan sebagai bahan psikotropik di bawah Jadual Ketiga Akta Racun 1952.
Di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952, sebarang aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, menjual, atau memiliki mitragynine (termasuk air ketum) adalah satu kesalahan jenayah.
Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda yang lebih rendah kerana dua daripada 10 anaknya masih bersekolah, manakala isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon hukuman berbentuk pengajaran dan meminta mahkamah mengambil kira bahawa kes itu melibatkan kepentingan awam.





