Read Time:1 Minute, 25 Second
KOTA KINABALU : Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), khususnya penghuni kolej-kolej kediaman universiti, diseru agar bersama-sama memelihara kemudahan yang disediakan serta memainkan peranan dalam menjaga nama baik universiti.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, tanggungjawab menjaga kemudahan kolej bukan hanya terletak pada pihak pengurusan universiti, sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen semua penghuni, termasuk memastikan kebersihan dan keceriaan persekitaran kolej sentiasa terpelihara.
Menurut beliau, kemudahan dan persekitaran tempat tinggal yang kondusif merupakan antara aspek penting dalam menyokong kesejahteraan serta pengalaman kehidupan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian di universiti.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kolej Kediaman Numbak (KKN) bersama-sama pengurusan universiti.
Abdul Rahman menambah, sebagai kumpulan pertama yang mendiami kolej berkenaan, mahasiswa perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam menggunakan setiap kemudahan yang disediakan, sekali gus membentuk budaya kehidupan kolej yang positif untuk diwarisi oleh penghuni lain pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan mahasiswa agar terus menyuarakan pandangan dan kritikan, khususnya berkaitan kemudahan serta keperluan kolej secara berhemah dan penuh rasa hormat bagi membantu pihak universiti mengenal pasti ruang penambahbaikan.

Katanya, banyak isu kritikal yang pernah dibangkitkan sebelum ini telah mendapat perhatian dan diselesaikan oleh pihak universiti, mencerminkan kesediaan pengurusan UMS untuk mendengar serta mengambil tindakan terhadap perkara yang melibatkan kepentingan mahasiswa.
Beliau turut mengajak mahasiswa supaya memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat mengenai usaha dan inisiatif universiti, selain memberikan sokongan moral bagi menyemarakkan semangat seluruh warga UMS.
Abdul Rahman juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran pengurusan dan penyediaan kemudahan universiti demi kepentingan mahasiswa.
Pada sesi lawatan tersebut, Abdul Rahman turut menyempurnakan perasmian Food Bank Madani UMS @ KKN serta menyampaikan sumbangan Bank Makanan Madani @ UMS berjumlah RM19,000.





