Read Time:1 Minute, 33 Second
KOTA KINABALU: Pelbagai inisiatif bantuan pendidikan yang disediakan Kerajaan Negeri Sabah terus membuka peluang kepada anak negeri melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), selain membantu meringankan beban kewangan keluarga.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azman Ruslan, berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan memastikan masa depan pendidikan anak Sabah terus terbela.
Beliau berkata, bantuan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta bantuan pendidikan menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memperluas akses pendidikan kepada golongan yang memerlukan.
“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang amat penting untuk masa depan Sabah. Setiap anak negeri, tanpa mengira latar belakang keluarga dan kedudukan ekonomi, perlu diberikan peluang sama untuk mengejar cita-cita.
“Kita mahu setiap anak Sabah berpeluang mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan profesional. Usaha ini bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan, tetapi turut membina generasi masa depan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kemajuan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kewangan kepada 75 pelajar dari Keningau yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), di sini, semalam.
Azman yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat P.180 Keningau, menggalakkan ibu bapa, penjaga dan pelajar memanfaatkan pelbagai bantuan pendidikan yang disediakan dengan menyemak syarat kelayakan serta mengemukakan permohonan melalui saluran rasmi.
Beliau turut mengingatkan pelajar yang berminat memohon bantuan TPNS supaya tidak melepaskan peluang berikutan permohonan Fasa III dijadualkan ditutup pada 31 Oktober 2026.
Katanya, lebih ramai anak Sabah diharap dapat melanjutkan pengajian dan seterusnya menceburi bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, pendidikan dan perundangan.
“Kejayaan mereka kelak merupakan kejayaan seluruh negeri Sabah,” katanya.
Beliau berharap inisiatif pendidikan kerajaan negeri akan terus diperkasakan bagi memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan berkualiti.





