Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah Electricity teroka mobiliti hijau menerusi projek perintis EV Bike

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity melancarkan Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) sebagai langkah meneroka penggunaan kenderaan elektrik bagi meningkatkan kecekapan operasi lapangan, mengoptimumkan perbelanjaan operasi dan menyokong kelestarian alam sekitar.

Projek ini dimulakan menerusi penyerahan lima unit motosikal elektrik yang untuk kegunaan anggota kerja pembaca jangka di Bahagian Retail.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha meneroka pendekatan operasi yang lebih lestari melalui potensi pengurangan pelepasan karbon, pengoptimuman kos operasi dan peningkatan kecekapan pergerakan petugas lapangan.

Majlis Penyerahan Kunci Projek Perintis Motosikal Elektrik (EV Bike) Sabah Electricitytelah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar.

Mohd Yaakob berkata, kumpulan ini dipilih sebagai perintis memandangkan tugasan mereka melibatkan pergerakan yang kerap ke pelbagai lokasi pelanggan setiap hari, sekali gus membolehkan kesesuaian penggunaan motosikal elektrik dinilai dalam keadaan operasi sebenar.

“Projek perintis itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat meneroka pendekatan baharu untuk meningkatkan produktiviti dan mengurus kos operasi dengan lebih berkesan.

“Sepanjang tempoh percubaan selama enam hingga 12 bulan, Sabah Electricity akan menilai prestasi motosikal elektrik berkenaan berdasarkan beberapa aspek utama, termasuk kecekapan tenaga, jarak perjalanan, ketahanan bateri, kos penyelenggaraan, keselamatan serta kesesuaiannya dengan keadaan geografi dan keperluan operasi di Sabah.

“Penggunaan motosikal elektrik berpotensi mengurangkan penggunaan petrol bagi perjalanan operasi, di samping membuka ruang kepada penjimatan kos bahan api dan penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman anggota kerja yang terlibat memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan projek ini.

“Rekod penggunaan, kos, prestasi dan maklum balas pembaca jangka akan dikumpulkan secara teratur bagi memastikan keputusan seterusnya dibuat berdasarkan data dan keperluan operasi sebenar.

“Sekiranya hasil penilaian menunjukkan motosikal elektrik berkenaan praktikal, menjimatkan dan sesuai dengan keperluan operasi, Sabah Electricity akan mempertimbangkan pembelian serta peluasan penggunaannya secara berperingkat ke seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Mohd Yaakob berkata, inisiatif ini turut menyokong komitmen Sabah Electricity terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya melalui penerokaan teknologi yang lebih mesra alam dan penggunaan tenaga secara cekap serta bertanggungjawab.

“Sabah Electricity berharap projek perintis ini menjadi asas kepada penambahbaikan berterusan dalam operasi syarikat, selaras dengan usaha menyediakan perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan sambil meneroka penyelesaian mobiliti yang lebih lestari,” ujarnya.

LEAVE A RESPONSE