Read Time:1 Minute, 14 Second
KOTA KINABALU: Perenang para Sabah, Abdul Halim Muhammad, tidak menyangka mampu meraih pingat perak pada temasya Sukan Para Asia Aichi-Nagoya di Jepun selepas hanya menyasarkan pingat gangsa.
Halim berkata, kejayaan itu menjadi satu kejutan buat dirinya, sekali gus membuktikan beliau mampu memberikan saingan lebih baik di pentas antarabangsa.
“Saya pada awalnya menyasarkan pingat gangsa, jadi saya agak terkejut apabila berjaya mendapatkan pingat perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi menyambut ketibaan atlet para lompat jauh Jonathan Wong Kar Gee di sini pada Isnin.
Wong turut tiba bersama rakan atlet, Ivan Jovic Suan dan disambut Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Mansur Asun; Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN Sabah), Mohd Asneh Mohd Noor; Timbalan Pengarah (Sektor Para), Alissa Alha; anggota keluarga Wong termasuk ibunya, Datuk Susan Wong Siew Guen.
Halim meraih pingat perak dalam acara 100 meter kuak dada lelaki kategori SB8 dengan catatan masa 1 minit 14.45 saat.
Menurutnya, pencapaian itu menjadi dorongan untuk terus memperbaiki prestasi dan meningkatkan persediaan bagi menghadapi kejohanan akan datang.
Halim turut menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28), namun mengakui penyertaannya masih belum disahkan.
Beliau dijadualkan menghadapi Kejohanan Renang Para Dunia di Mexico pada Oktober tahun depan sebagai antara kejohanan penting dalam usahanya menuju sasaran berkenaan.
Halim turut menasihatkan atlet para baharu supaya terus menjalani latihan dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian masing-masing. – SABAH MEDIA





