Read Time:1 Minute, 51 Second
KOTA KINABALU: Insurans hayat dan takaful keluarga perlu dijadikan keutamaan dalam perancangan kewangan bagi melindungi rakyat daripada risiko kesihatan, kehilangan pendapatan serta ketidaktentuan ekonomi global.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kekuatan ekonomi bukan hanya bergantung kepada pertumbuhan, tetapi turut diukur berdasarkan tahap keselamatan dan daya tahan kewangan rakyat.
“Di sebalik setiap polisi insurans, terdapat sebuah keluarga, sumber kehidupan dan masa depan yang wajar dilindungi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah AKARD 2026 anjuran Persatuan Kebangsaan Insurans Hayat Malaysia dan Penasihat Takaful Keluarga (NAMLIFA) Cawangan Sabah, di sini, Jumaat.
Masidi berkata, peningkatan kos penjagaan kesihatan dan premium perubatan terus memberi tekanan kepada keluarga serta industri insurans, sekali gus memerlukan langkah berkesan bagi memastikan perlindungan perubatan kekal mampu milik.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik pembaharuan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) oleh Bank Negara Malaysia, termasuk langkah interim untuk menyebarkan pelarasan premium yang terjejas dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun.
Beliau turut menyentuh cadangan pelaksanaan pelan perlindungan perubatan standard MediAsas yang disasarkan bermula Januari 2027 di seluruh negara.
Menurutnya, usaha memperluas akses kepada perlindungan perubatan perlu disertai amalan profesional yang mengutamakan kepentingan pelanggan.
“Setiap pelanggan perlu diberikan penerangan yang jelas, cadangan yang bersesuaian serta nasihat yang jujur mengenai manfaat, kos dan batasan sesuatu polisi,” katanya.
Beliau berkata, ketelusan dalam memberikan khidmat nasihat penting bagi membolehkan pelanggan membuat pilihan berdasarkan keperluan dan kemampuan kewangan masing-masing.
Dalam pada itu, Masidi merakamkan penghargaan kepada NAMLIFA atas usaha advokasi, pembangunan profesional serta kerjasama berterusan dengan pihak pengawal selia industri.
Beliau turut menggesa persatuan berkenaan, syarikat insurans, pengendali takaful dan penasihat industri supaya terus meningkatkan literasi kewangan masyarakat serta mengekalkan standard etika profesional yang tinggi.
“Kepercayaan diperoleh melalui perkhidmatan dan dikekalkan melalui integriti,” katanya.
Masidi turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah AKARD 2026 dan berharap pengiktirafan itu menjadi dorongan untuk mereka terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta membimbing golongan profesional muda.
“Jadikan pengiktirafan ini sebagai inspirasi untuk memimpin melalui teladan, membimbing golongan profesional yang lebih muda dan terus menghargai kepercayaan yang diberikan oleh keluarga kepada anda,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan industri insurans dan takaful tidak seharusnya diukur berdasarkan pengiktirafan semata-mata, sebaliknya turut dinilai melalui sumbangan dan manfaat yang diberikan kepada masyarakat.





