Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Lelaki maut ditikam di Iramanis, polis buru suspek

Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang pekerja warga asing yang ditemui maut di kawasan tapak pembinaan di belakang sebuah bilik pameran kenderaan di Iramanis, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.40 pagi sebelum satu laporan polis dibuat pada jam 2.23 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa lelaki berusia 34 tahun dipercayai keluar bersama suspek pada sebelah pagi untuk minum minuman keras di kawasan Penampang sebelum kedua-duanya pulang ke rumah kongsi kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang dipercayai berpunca daripada salah faham ketika kedua-duanya berada dalam keadaan mabuk.

“Mangsa dipercayai telah memukul suspek menggunakan sebatang kayu sebelum suspek bertindak balas dengan menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan sebilah pisau pemotong sayur.

“Selepas kejadian, suspek dipercayai melarikan diri, manakala mangsa ditemui di dalam sebuah lubang pembetung (manhole) berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Syed Lot berkata, Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala usaha mengesan dan menangkap suspek serta merampas senjata yang digunakan sedang giat dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan polis.

LEAVE A RESPONSE