Read Time:1 Minute, 5 Second
SANDAKAN: Persatuan usahawan wanita di Sabah terus memainkan peranan penting dalam membangunkan serta memajukan perusahaan dan produk yang diusahakan wanita di negeri ini.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, dalam ucapannya pada Malam Gala Ratu Klasik 50-an anjuran Persatuan Ratna Unggul (RATU) Sabah di Dewan Hakka pada Sabtu, menyeru agar persatuan itu terus membantu lebih ramai wanita mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan.
“Saya berharap persatuan usahawan wanita yang ada akan terus membantu lebih ramai wanita di negeri ini berjaya dalam perniagaan masing-masing,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Sandakan, Tang Szu Ching.
Vivian turut memuji usaha berterusan RATU dalam membantu usahawan wanita menghadapi cabaran dunia perniagaan masa kini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB), Datuk Frankie Poon Ming Fung, yang bersama-sama meraikan para usahawan wanita.
Dalam acara itu, Vivian menyampaikan hadiah kepada pemenang Busana Terbaik, manakala Tang Szu Ching turut menyampaikan Anugerah Ratu kepada beberapa usahawan wanita cemerlang di Sandakan.
Sementara itu, Pengerusi RATU, Sanjanah Awang Zainal, dalam ucapannya memaklumkan bahawa persatuan tersebut kini mempunyai kira-kira 1,000 ahli di seluruh negeri.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong usaha RATU serta mereka yang terlibat menjayakan penganjuran majlis tersebut.
Majlis yang berlangsung meriah itu turut dihadiri para usahawan wanita, pemimpin masyarakat serta tetamu jemputan lain.






