Read Time:2 Minute, 17 Second
KUNDASANG : Climbathon Antarabangsa Gunung Kinabalu ke-33 2026 terus mengukuhkan kedudukannya dalam kalendar larian gunung antarabangsa apabila sekali lagi menjadi sebahagian daripada Merrell Skyrunner® World Series.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penyertaan Climbathon dalam siri berprestij itu bukan sahaja meningkatkan taraf pertandingan, malah membuka ruang kepada atlet tempatan untuk menguji kemampuan mereka menentang pelari skyrunning terbaik dunia.
Katanya, edisi tahun ini merupakan kali kedua Climbathon disenaraikan dalam Merrell Skyrunner® World Series yang merangkumi 19 perlumbaan di 12 negara merentasi empat benua.
“Sebagai perlumbaan ke-17 dalam siri musim ini, Climbathon menjadi antara acara penting bagi atlet yang memburu mata World Series sebelum berlangsungnya SkyMasters Grand Finale di Sepanyol pada 7 November 2026.
“Kira-kira 20 atlet terkemuka World Series dijangka mengambil bahagian tahun ini, sekali gus menyaksikan pelari skyrunning bertaraf dunia menguji kemampuan mereka di Gunung Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Alu-aluan Atlet Antarabangsa Climbathon Gunung Kinabalu di sini, malam ini.
Menurut Jafry, penyertaan atlet dari 26 negara membuktikan Climbathon terus mempunyai daya tarikan dalam kalangan pelari gunung antarabangsa.
Katanya, kehadiran atlet antarabangsa juga memberi peluang kepada pelari Malaysia, khususnya dari Sabah, mendapatkan pengalaman bersaing di pentas lebih tinggi.
“Climbathon yang mula dianjurkan pada 1987 telah berkembang menjadi antara acara sukan utama Sabah dan mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai perlumbaan gunung yang mencabar ketahanan fizikal, keazaman serta kemahiran teknikal para pelari.
“Pertandingan ini bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi turut memerlukan ketahanan mental dan kemahiran teknikal untuk menghadapi laluan Gunung Kinabalu yang mencabar,” katanya.
Jafry berkata, penglibatan berterusan Climbathon dalam siri perlumbaan antarabangsa itu turut membantu meningkatkan keterlihatan Sabah dalam kalangan komuniti larian gunung global.
Menurutnya, keadaan itu secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada usaha kerajaan negeri memperkenalkan Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan dan pengembaraan.
Beliau berkata, pemilihan Taman Kinabalu sebagai lokasi pertandingan turut memberikan kelebihan tersendiri kerana kawasan berkenaan memiliki landskap semula jadi yang unik serta nilai biodiversiti yang tinggi.
“Taman Kinabalu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2000 atas nilai alam semula jadi dan kepelbagaian biologinya.
“Sabah juga mempunyai tiga pengiktirafan UNESCO, iaitu Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Geopark Global UNESCO Kinabalu,” katanya.
Jafry berkata, pengiktirafan berkenaan perlu disertai dengan komitmen berterusan untuk memastikan khazanah alam semula jadi Sabah terus dipelihara.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua atlet, pegawai dan tetamu ke Sabah serta berharap mereka mengambil kesempatan meneroka pelbagai tarikan negeri itu sepanjang berada di sini.
“Semoga semua atlet dapat memberikan prestasi terbaik, menghadapi cabaran perlumbaan dengan selamat dan membawa pulang pengalaman serta kenangan indah dari Sabah.
“Saya berharap kunjungan ini bukan yang terakhir dan mereka akan kembali pada 2027 sempena Tahun Melawat Sabah untuk meneroka lebih banyak destinasi yang kita tawarkan,” katanya.





