Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menyediakan perkhidmatan tren tambahan bagi laluan Tanjung Aru-Tenom-Tanjung Aru sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) 2026.
Perkhidmatan tambahan itu disediakan selama tiga hari, iaitu pada 23 hingga 25 Oktober 2026 (Jumaat hingga Ahad) bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang ingin menghadiri sambutan berkenaan.
Berdasarkan jadual yang dikeluarkan JKNS, tren dari Tanjung Aru ke Tenom akan bertolak pada jam 6 pagi, dengan hentian di Papar pada jam 6.53 pagi dan Beaufort pada jam 8.05 pagi sebelum tiba di Tenom pada jam 10.28 pagi.

Bagi perjalanan Tenom ke Tanjung Aru, tren pada 23 dan 24 Oktober dijadual berlepas dari Tenom pada jam 3 petang, sebelum tiba di Beaufort pada 5.21 petang, Papar pada 6.33 petang dan Tanjung Aru pada 7.26 malam.
Pada 25 Oktober, tren dari Tenom dijadual berlepas pada jam 3.15 petang, tiba di Beaufort pada 5.36 petang, Papar pada 6.48 petang dan Tanjung Aru pada 7.41 malam.
JKNS memaklumkan tren tambahan berkenaan hanya akan berhenti di stesen utama seperti yang dinyatakan dalam jadual.
Bagi pembelian tiket, orang ramai hanya boleh mendapatkannya di kaunter tiket Stesen Tanjung Aru, Papar, Beaufort dan Tenom pada hari perjalanan.
Penjualan tiket di Stesen Tanjung Aru bermula seawal 5.30 pagi, manakala bagi stesen lain, jualan tiket di kaunter bermula 30 minit sebelum tren berlepas.
Tiket adalah terhad dan penjualan dibuat berdasarkan prinsip siapa cepat, dia dapat.
JKNS turut menasihatkan penumpang supaya merancang perjalanan lebih awal dan menyemak jadual terkini sebelum bertolak kerana jadual perjalanan adalah tertakluk kepada perubahan semasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi JKNS di railway.sabah.gov.my atau menghubungi talian 088-279 300. – SABAH MEDIA





