Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Bantuan pendidikan Sabah meningkat kepada RM90 juta tahun ini

Read Time:2 Minute, 25 Second

SANDAKAN: Kerajaan Sabah meningkatkan peruntukan bantuan kepada sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam kepada RM90 juta tahun ini berbanding RM70 juta pada tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperluas akses kepada pendidikan yang lebih baik, selain membantu penyelenggaraan bangunan, aktiviti pembelajaran dan pengoperasian badan keagamaan.

“Prinsip kita jelas, iaitu Sabah First dan pendidikan untuk semua. Kerajaan hari ini akan terus berpegang kepada prinsip keadilan, kesaksamaan dan keterangkuman.

“Kita tidak melihat bangsa atau agama dalam menyalurkan bantuan, sebaliknya kita melihat keperluan rakyat dan masa depan negeri yang perlu dibangunkan bersama,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib, pada Majlis Perasmian Dewan Pusat Kegiatan Murid Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua Sandakan, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, jumlah bantuan kepada sekolah Cina dan badan keagamaan bukan Islam meningkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta pada 2023, RM56.75 juta pada 2024 dan RM70 juta pada tahun lalu.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM155 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini, berbanding RM50 juta pada 2020, selain meneruskan 14 inisiatif bantuan pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021.

“Semua usaha yang kita laksanakan ini tujuannya hanya satu, iaitu kita mahu memastikan anak-anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa dibebani masalah kewangan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan modal insan di bawah kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 memberi penekanan kepada pembentukan generasi yang bukan sahaja berpendidikan, malah memiliki kemahiran, nilai, daya tahan, kreativiti dan keupayaan untuk menjadi penggerak ekonomi serta pembangunan Sabah.

Katanya, golongan muda perlu dilengkapi dengan kemahiran dalam bidang baharu yang diperlukan oleh ekonomi masa depan supaya mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Mengulas pembinaan Dewan Pusat Kegiatan Murid SMJK Tiong Hua, Hajiji berkata, kemudahan itu bukan sekadar sebuah bangunan baharu, sebaliknya mencerminkan komitmen bersama pihak sekolah, ibu bapa, komuniti, alumni dan sektor swasta dalam menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif, selesa dan berkualiti.

Beliau berkata, dewan berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai ruang untuk membina keyakinan diri, mengasah bakat dan memperkukuh disiplin, selain melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta mempunyai nilai dan integriti.

Hajiji turut menyifatkan SMJK Tiong Hua sebagai kebanggaan warga Sandakan kerana sekian lama melahirkan anak Sabah yang cemerlang dalam pelbagai bidang, termasuk akademik, perniagaan, kepimpinan dan perkhidmatan awam.

Katanya, semangat perpaduan yang ditunjukkan warga sekolah itu menerusi interaksi pelajar daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama mencerminkan identiti Sabah yang perlu terus dipertahankan.

“Perpaduan bukan slogan. Perpaduan adalah prasyarat kepada kestabilan dan kemajuan negeri kita. Jika kita mahu Sabah terus maju, kita mesti memastikan asas perpaduan ini sentiasa kukuh,” katanya.

Beliau berharap pelajar SMJK Tiong Hua memanfaatkan kemudahan dan peluang yang disediakan untuk mengembangkan potensi diri, menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran, sekali gus meneruskan kecemerlangan sekolah itu dalam pembangunan modal insan negeri.

LEAVE A RESPONSE