Read Time:1 Minute, 46 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kes kematian Zara Qairina Mahathir sudah diketahui orang ramai sebelum ibunya, Noraidah Lamat, mengenali Marhamah Rosli yang kini Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Noraidah memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pasti sama ada hantaran Facebook atau sosial media Marhamah menyebabkan kes kematian anaknya menjadi tular.
“Setahu saya, pada awal kes ini, sebelum saya mengenali Marhamah, orang ramai sudah tahu mengenai kejadian yang menimpa anak saya,” katanya ketika menjawab soalan peguam Joan Goh.
Terdahulu, Noraidah berkata beliau pada awalnya mengenali Marhamah melalui Facebook sebagai pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, Marhamah kemudian mengunjungi beliau di rumah kira-kira seminggu selepas kejadian menimpa Zara dan membantu beliau mendapatkan peguam.
“Saya mengenali beliau melalui media sosial Facebook pada awalnya. Setelah lebih kurang seminggu kejadian anak saya, Zara, beliau telah mengunjungi saya di rumah.
“Beliau membantu saya mencari peguam. Itu sahaja pada awalnya,” katanya.
Noraidah berkata, selepas itu beliau berurusan dengan pasukan peguam, manakala Marhamah banyak terlibat dalam penulisan di Facebook berkaitan kes berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, sepanjang ingatannya, tiada penulisan Marhamah di Facebook yang berunsur negatif.
“Seingat saya, penulisan beliau tidak ada yang berunsur negatif,” katanya.
Ketika diminta menjelaskan maksud unsur negatif, Noraidah berkata beliau merujuk kepada penulisan yang boleh menghasut orang awam.
Marhamah dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada Disember 2025, kira-kira lima bulan selepas kematian Zara.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan gelombang solidariti #JusticeForZara yang mendapat perhatian meluas di dalam dan luar negara.
Jenazah remaja itu digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dijalankan pada keesokan harinya di Jabatan Perubatan Forensik HQE.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghina Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.
Prosiding inkues yang bermula pada 3 September 2025 dilaksanakan bagi mencari, menyiasat, dan menentukan punca serta sebab kematian remaja itu.





