Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Operasi kesan buaya di Pulau Sapi dipergiat

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Taman-Taman Sabah (TTS) mempertingkatkan kawalan dan pemantauan di kawasan perairan Pantai B, Pulau Sapi, Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), di sini susulan penampakan seekor buaya pada Isnin lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata langkah itu turut membabitkan rondaan bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) bagi memastikan keselamatan pengunjung dan pemain industri pelancongan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, semua pengusaha aktiviti pelancongan air termasuk selam skuba, snorkeling dan sea walking diarahkan melakukan pemeriksaan awal di kawasan aktiviti sebelum membenarkan pelancong memasuki air.

“Aktiviti berenang dan snorkeling secara bersendirian juga tidak dibenarkan dan hendaklah dilakukan secara berkumpulan.

“TTS  turut memasang papan tanda amaran mengenai kehadiran buaya di kawasan berkaitan, manakala hebahan dan peringatan kepada pengunjung diberikan secara berterusan oleh petugas penyelamat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Jafry, makluman mengenai langkah berjaga-jaga dan prosedur keselamatan turut disampaikan kepada semua pemain industri pelancongan yang beroperasi dalam kawasan TTAR.

Katanya, TTS bersama JHL kini melaksanakan operasi khas bagi mengesan buaya berkenaan, termasuk memasang pukat di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Pukat dipantau secara rapi bagi mengelakkan hidupan marin lain, khususnya penyu, daripada terperangkap.

“Operasi pengesanan turut dijalankan bagi membolehkan tindakan pemindahan dilaksanakan sekiranya buaya berkenaan berjaya dikesan,” katanya.

Jafry berkata, langkah pemantauan dan berjaga-jaga turut dipertingkatkan di kawasan lain dalam TTAR bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa diberi keutamaan.

Beliau meminta semua pengunjung mematuhi arahan petugas Taman-Taman Sabah dan pengusaha aktiviti air serta segera memaklumkan kepada petugas sekiranya berlaku sebarang penampakan buaya.

“Kementerian memandang serius perkara ini. Keselamatan pengunjung adalah keutamaan dan saya telah meminta Taman-Taman Sabah serta Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil segala langkah yang perlu, termasuk meningkatkan pemantauan dan operasi pengesanan di kawasan berkenaan.

“Orang ramai dan pengunjung diminta memberikan kerjasama sepenuhnya serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh petugas,” katanya.

Jafry berkata, situasi berkenaan akan terus dipantau dan langkah-langkah sedia ada akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini.

LEAVE A RESPONSE